LAMAN penyokong JDTFC memetik kenyataan legenda penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Safee Sali yang menjangkakan skuad Harimau Selatan itu mungkin akan mendapatkan seorang atau dua pemain import berprofil tinggi pada masa akan datang untuk pergi lebih jauh dalam saingan Liga Juara-juara Asia (ACL).
Ini selepas skuad kendalian Hector Bidaglio itu tewas 0-5 kepada gergasi Jepun, Urawa Red Diamonds yang juga juara dua kali Asia, dalam perlawanan pada 19 Ogos lalu.
Seorang penyokong JDT, Adam Haris di ruangan komen memberi bayangan kemungkinan skuad Harimau Selatan berminat untuk membawa masuk dua lagi bintang import untuk memperkuatkan pasukan.
Sebastian Giovinco pernah bermain untuk Juventes FC bagi beberapa musim. — Agensi
"Sebastian Giovinco (bekas pemain Juventes FC), pemain ini dalam proses untuk JDT sign.
"Next... seorang lagi import berasal dari Brazil akan menjadi partner dengan penyerang JDT, Bergson da Silva.
"Pemain ini bermain di posisi second striker/ attacking midfield dan centre forward. Dia juga pernah beraksi untuk skuad kebangsaan Brazil.
"Nak dedahkan takut langgar peraturan kelab. Sama-sama kita nantikan," ujarnya.
Berdasarkan data transfermarkt.com, Sebastian Giovinco, 35 tahun, tidak ditandatangani mana-mana kelab selepas meninggalkan UC Sampdoria pada 1 Julai lalu.
Seorang lagi penyokong, Misbahul Tolib berpendapat, JDT ketika ini tidak menghadapi masalah di bahagian serangan dengan kehadiran pemain seperti Bergson.
"Bagi aku Bergson tu dah tajam...isunya bukan pada pemain tapi taktikal. Jika lihat Urawa pun ramai pemain boleh skor.
"Bukan mengharapkan striker mereka semata-mata, jurulatih JDT perlu belajar taktikal yang Urawa atau pasukan kebangsaan Jepun terapkan," katanya.
Aksi Shane Lowry dan Jordi Amat dalam saingan Liga ACL pada 19 Ogos lalu. — Facebook/ Johor Southern Tigers
Dalam aksi pusingan 16 ACL 2022, JDT tewas 0-5 dengan Urawa Reds Diamonds sekali gus menamatkan perjalanan mereka untuk mara ke suku akhir kejohanan antarabangsa itu.
Di sebalik kekalahan itu, ramai penyokong bola sepak tempatan melahirkan rasa tidak puas hati terhadap debut Jordi Amat yang juga import termahal Harimau Selatan selepas disunting kelab itu pada Jun lalu.
Ini kerana rata-rata penyokong meletakkan harapan tinggi terhadap Jordi selaku bekas pertahanan Liga Sepanyol dan Liga Perdana Inggeris yang berpengalaman merantai pergerakan beberapa penyerang berkelas dunia seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram