Muhammad Shafee kembali bersama pasukan peguam Najib


  • Prosiding
  • Selasa, 23 Ogos 2022

Najib (tengah) ketika hadir di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya pada Selasa. — Bernama

"TIDAK ada kenyataan media," itu reaksi bekas peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kepada pemberita di lobi Mahkamah Persekutuan.

Kelibat Muhammad Shafee itu dilihat memasuki pekarangan mahkamah sekitar pukul 10 pagi sebelum memasuki kamar perbicaraan rayuan akhir Najib.

Beliau kemudiannya meninggalkan mahkamah pada pukul 11.05 pagi.

Terdahulu, peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan kepada mahkamah beliau telah meminta Muhammad Shafee untuk membantunya dan akan mengemukakan hujahan dalam permohonan supaya Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimon Tuan Mat menarik diri dari mendengar rayuan akhirnya.

Pada 26 Julai lalu, Ahli Parlimen Pekan itu bertindak memecat Muhammad Shafee dan peguam dari firma Tetuan Shafee & Co daripada mewakilinya dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Muhammad Shafee dan peguamnya menawarkan khidmat guaman kepada Najib dalam kes SRC International sejak 4 Julai 2018. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram