Abang Grab 'hero' wanita baju kelawar hampir diragut


  • Tular
  • Selasa, 23 Ogos 2022

Tangkap layar video detik mencemaskan, ketika penghantar makanan merempuh belakang motosikal suspek yang sedang melakukan jenayah ragut.

KESELAMATAN penduduk di negara ini, terutamanya kaum wanita untuk berjalan seorang diri di jalan raya semakin terancam dan membimbangkan.

Hal ini kerana mereka terdedah dengan kes-kes jenayah seperti dibunuh, dirogol serta dirompak.

Baru-baru ini, seorang wanita berdepan dengan detik cemas apabila hampir beg tangannya hampir diragut.

Menerusi video tular, wanita tersebut yang memakai baju kelawar berwarna kuning dilihat berjalan seorang diri di kaki lima, sebelum diekori oleh dua orang lelaki yang menaiki motosikal.

Dalam video sama, kedua-dua suspek dilihat memberhentikan motosikal mereka sebelum bertindak meragut beg tangan wanita tersebut.

Wanita terbabit tidak membiarkan hartanya diragut, sebaliknya bertindak berani untuk bergelut dan mengejar kedua-dua suspek.

Pergelutan itu disedari oleh seorang penghantar makanan Grab yang kebetulan melalui lokasi kejadian.

Tidak duduk diam, penghantar makanan itu dilihat merempuh belakang motosikal peragut berkenaan menggunakan motosikal miliknya, sekali gus melambatkan proses suspek untuk melarikan diri.

Orang ramai yang lalu lalang di lokasi kejadian juga bertindak pantas memberhentikan kenderaan mereka untuk menyelamatkan keadaan.

Pertolongan daripada orang ramai membuahkan hasil apabila wanita tersebut berjaya mendapatkan kembali beg tangannya.

Kedua-dua suspek juga dilihat dikepung dan ditahan oleh orang awam.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu mendapati, kejadian tersebut berlaku pada Ahad lalu pada kira-kira pukul 8.30 malam.

Lokasi kejadian belum dikenal pasti, manakala masih belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung perkara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram