PERLAWANAN antara Sabah FC dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Likas, Sabah pada 15 Julai lalu mencuri tumpuan selepas aksi sebahagian penyokong tuan rumah yang berang apabila kecundang 1-2.
Impian penyokong The Rhinos untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata menjadi lebur selepas penyerang JDT, Fernando Forestieri menjaringkan gol pada minit tambahan perlawanan.
Gol kemenangan penyerang dari Argentina itu yang membuatkan penyokong Sabah FC tambah tertekan sehingga ada yang bertindak dengan cara melampau.
Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Bilal Jailani melihat insiden yang berlaku itu sebagai satu perkara yang membawa hikmah kepada semua.
"Ketika seluruh pasukan JDT sibuk meraikan, ada karipap dibaling ke gelanggang.
"Forestieri mengutip karipap di lantai, lalu pergi ke kamera dan berkata, "With food, you don't play because people don't have food to eat".
"Aduh. Malunya tak tertanggung," katanya.
Karipap (bulatan kuning) yang dikutip Fernando Forestieri didakwa dibaling penyokong. — Facebook
Menurut Bilal, rakyat Malaysia perlu mengambil insiden itu sebagai satu pengajaran apatah lagi Rasullullah SAW pun sudah mengajar kita bersikap hormat terhadap makanan.
"Tahukah anda, 8.6 peratus penduduk Malaysia dikategorikan miskin, iaitu pendapatan isi rumahnya bawah RM2,208? Tongod, Pitas dan Kota Marudu yang terletak di Sabah dikenal pasti sebagai tiga daerah termiskin negara ini.
"Malahan, menurut data Jabatan Perdana Menteri, kadar kemiskinan di tiga daerah ini adalah kira-kira 50 peratus.
"Kita mungkin makan cukup, tetapi tahukah kita bahawa masih ada nasi goreng dan telur yang dijual pada harga 20 sen? Inilah makanan orang miskin. Tahukah anda, berapa gaji orang miskin? Mereka hanya dapat RM300 sebulan," katanya.
Jelasnya, karipap yang dibaling itu juga mungkin adalah emas bagi orang miskin.
"Forestieri yang bergaji RM3 juta setahun (anggaran) pun tahu nilai sepotong karipap. Apakah kita buta, tuli, pekak dan bisu? Apakah hati kita keras membatu?
"Siapa yang baling karipap, itu tak penting. Secara umumnya, bila penyokong tak puas hati, banyaklah yang dicampaknya, tanpa mengira penyokong kelab mana pun," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram