Baju, rambut pelajar digunting di MRSM Kuantan, polis sahkan tiada unsur gengsterisme


  • 112
  • Isnin, 15 Ogos 2022

Dalam hantarannya itu, ibu mangsa mendakwa, wujud perbuatan khianat dan budaya gangsterism di sekolah itu. — Facebook

HASIL siasatan awal, pihak polis menyatakan tiada sebarang unsur gengsterisme yang wujud dalam dakwaan kes buli membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kommisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, ia berdasarkan siasatam yang dijalankan pihak polis berhubung laporan dibuat ibu kepada pelajar terbabit.

Bagaimanapun katanya, kes itu hanya disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat terhadap pelajar terbabit.

“Kita sudah merakam percakapan mereka yang terlibat seperti guru-guru, pelajar-pelajar termasuk ibu mangsa bagi membantu siasatan kes itu.

“Jadi, siasatan awal mendapati tidak wujud sebarang unsur gengsterisme dalam kejadian ini,” katanya pada Isnin.

Beliau menjelaskan, dua laporan diterima daripada ibu mangsa dan warden MRSM berhubung kes itu.

Pada Jumaat, tular di media sosial Facebook, pengguna Nazrah Mohamed yang mendakwa tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak pengurusan MRSM Kuantan berhubung kes buli membabitkan anaknya.

Dalam hantarannya itu, ibu mangsa mendakwa, wujud perbuatan khianat dan budaya gangsterism di sekolah itu.

Nazrah dikatakan turut berkongsikan baju sekolah anaknya yang diconteng dan rambut digunting ketika tidur.

Dalam pada itu, polis Kuantan menasihatkan orang ramai supaya tidak memuat naik sebarang hantaran dan perkongsian yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Sebelum melakukan sebarang tindakan beliau meminta orang ramai mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram