SELAIN persoalan mengenai venue dan tarikh perlawanan, status pengadil bagi pentas akhir Piala FA 2022 antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) juga hangat diperkatakan dalam kalangan penyokong.
Mana tidaknya penyokong risau jika berlaku keputusan berat sebelah kerana kebelakangan ini pelbagai isu melanda watak penting di tengah padang itu sehingga peminat mencadangkan untuk gunakan khidmat pengadil luar digunakan bagi aksi final kali itu.
Memberi respons, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S Sivasundaram menegaskan bahawa aksi final Piala FA 2022 akan diadili oleh sepenuhnya pengadil tempatan.
Menurutnya, badan induk itu kini sedang meneliti calon-calon pengadil berkenaan sebelum memutuskan pengadil yang tepat untuk mengadili aksi final tersebut.
Sivasundram berkata, perkara itu dijangka akan diputuskan dalam masa terdekat sekali gus dapat membantu urus setia bagi membuat persiapan menjelang aksi final kali ini.
“Kita pun belum tahu lagi venue dan bilakah tarikh sebenar perlawanan akhir Piala FA kali ini akan diadakan tetapi saya tegaskan, FAM akan gunakan pengadil tempatan untuk mengendalikan perlawanan akhir ini.
“Ya, memang terdapat cadangan terutamanya di media sosial supaya perlawanan akhir ini diadili pengadil luar negara, tetapi kita rasa lebih elok guna pengadil tempatan.
“Lagi pun, kita ada enam pengadil dan juga lapan pembantu pengadil yang diiktiraf Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), jadi kita akan gunakan khidmat mereka sekarang,” katanya pada Ahad.
Sehingga kini venue dan tarikh akhir masih belum diputuskan oleh pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL). — Facebook TFC
Dalam pada itu, Timbalan Presiden FAM itu juga menyatakan bahawa badan induk tersebut juga akan menggunakan khidmat pembantu pengadil tempatan bagi membantu pengadil di sepanjang aksi final berkenaan.
Baginya, ia merupkan peluang bagi memanfaatkan khidmat semua pengadil dan juga pembantu pengadil tempatan berkenaan yang mendapat pengiktirafan FIFA.
“Bukan hanya pengadil, tetapi secara keseluruhannya, kita juga akan gunakan khidmat pembantu pengadil tempatan bagi tujuan mengendalikan perlawanan akhir Piala FA kali ini.
“Selain memudahkan lagi urusan komunikasi, ia juga bertujuan membantu melancarkan lagi perlawanan akhir berkenaan,” katanya.
Selepas dua tahun, akhirnya penyokong bola sepak tanah air akan menyaksikan pasukan mana yang bakal membawa pulang trofi kejohanan itu. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram