'Sink, Swim or Sail', karya Shafie Shamsuddin saat berdepan krisis Covid-19


  • Primer
  • Jumaat, 19 Ogos 2022

Shafie Shamsuddin bercerita pengalamannya ketika mengemudi AEON sewaktu pandemik Covid-19.

MENGEMUDI syarikat peruncitan terkemuka, AEON CO. (M) BHD. (AEON) ketika negara diserang pandemik Covid-19 antara pengalaman yang akan dikongsi menerusi siri video berjudul Sink, Swim or Sail.

Video tersebut adalah hasil perkongsian bekas Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin ketika baru beberapa bulan menjawat jawatan itu.

"Saya masih ingat bagaimana kami berhadapan dengan krisis Covid-19 dan perkongsian ini diharap dapat dijadikan tidak kira untuk pengurusan perniagaan dan perhubungan , keluarga mahupun negara," katanya kepada Majoriti.

file7m9f20wdomhq7ck9f3o

Shafie Shamsuddin berkongsi pengalamannya ketika bersama AEON.

Shafie yang juga merupakan Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif (SID) Petronas Dagangan Berhad berkata, krisis sedemikian adalah sesuatu yang tidak pernah dialami sebelum ini dan menyamakan krisis ini adalah seumpama Perang Dunia Ke-2.

Jelasnya, pada masa itu, semua orang tidak tahu betapa seriusnya impak Covid-19. Banyak perusahaan mengambil keputusan untuk tidak berbuat apa apa dan menunggu sehingga Covid-19 reda, dan ini yang telah menyebabkan perusahaan terpaksa menanggung kerugian yang banyak.

Shafie juga menekankan bahawa terdapat banyak cerita sedih di sebalik usahanya untuk mentransformasi AEON semasa Covid-19, dan menjadikan kisah-kisah itu sebagai motivasi untuknya membawa AEON bergerak ke hadapan

"Salah satu value yang saya sentiasa terapkan kepada kakitangan saya dahulu ialah supaya sentiasa rasa bersyukur. Apabila kita bersyukur, kita akan dapat melihat sudut positif apa yang kita sudah capai dan masalah yang kita hadapi. Ini membantu kami untuk mengambil keputusan yang sesuai dan tepat," katanya.

WhatsApp Image 2022-08-15 at 10.15.51 AM

Shafie Shamsuddin turun sendiri melihat bekalan stok ketika PKP dikuatkuasakan.

Jelasnya, dia sendiri turun padang bersama kakitangannya ketika Covid-19 melanda untuk memahami kesusahan dan memberi semangat kepada kakitangannya yang ketika itu dilanda kerisauan disebabkan Covid-19 tetapi tetap harus berkerja untuk membantu pelanggan.

WhatsApp Image 2022-08-15 at 10.36.58 AM

Shafie Shamsuddin juga turun seawal pukul 4 pagi untuk bersama kakitangan.

Katanya lagi, perkara lain yang sangat penting adalah melibatkan role model yang mana seorang pemimpin hendaklah sentiasa dekat dan sentiasa berkomunikasi dengan kakitangan.

Ujarnya lagi, jika seseorang pemimpin itu tidak ada bersama kakitangan dan tidak berusaha untuk memahami mereka, maka sukar untuk mengubah beberapa perkara yang sepatutnya boleh ditukar untuk menjadi lebih baik.

"Sebagai contoh, apabila kami mengalami masalah kekurangan bekalan roti, kami melihat situasi tersebut sebagai satu peluang untuk memupuk semangat keusahawan di mana kita melihat masalah sebagai peluang.

"Hasilnya, kami berjaya mengatasi kekurangan bekalan roti dengan membekalkan roti daripada kilang kami sendiri.

"Penyelesaian itu dapat dilakukan selepas kami bersama-sama memantau situasi yang dialami pelanggan dan kepayahan kakitangan kami," katanya.

Tambah Shafie, segala pengalaman yang akan dikongsikan dalam siri video itu bukan untuk tujuan komersial, tetapi untuk manfaat bersama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram