PEMBERIAN minit permainan penting buat pemain bola sepak kerana ia melambangkan kepercayaan yang diberikan jurulatih terhadap keupayaan seseorang pemain dalam melaksanakan misi pasukannya.
Bagaimanapun, kehadiran pemain import dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) membuatkan persaingan untuk mendapatkan kepercayaan tersebut sengit bagi pemain tempatan.
Situasi ini menyebabkan banyak bakat-bakat tempatan terpendam tanpa peluang menyinar setelah masa mereka banyak dihabiskan di bangku simpanan.
Kali ini, seorang penyokong Terengganu FC (TFC), Ben Ben mempersoalkan keputusan Ketua Jurulatih TFC, Nafuzi Zain yang dikatakan 'memeram' penyerang tengah mereka, Arif Anwar.
Menurutnya, pemain berusia 27 tahun tersebut memiliki kepakaran sebagai penjaring dan persembahannya pada aksi Liga Super menentang Sarawak United pada Sabtu lalu wajar dipuji.
"Tertanya juga, kenapa jurulatih Nafuzi jarang turunkan Arif? Bagi saya, dia ini ada kualiti. Masa bermain dengan pasukan lama dulu (UITM FC), dia padu.
Keputusan Nafuzi 'memeram' Arif dipersoal penyokong. — Terengganufc.com
"Kawalan bola, jaringan dan penyudah dia pun bagus. Semalam (pada Sabtu) boleh nampak, bila dia masuk (pada minit ke-77), Kpah Sherman nampak lebih selesa untuk buat larian.
"Nak tahu sebab apa? Sebab Arif ini seorang penjaring. Dia tahu masa mana nak main satu, dua antara penjaring atau pemain sayap.
"Kehadiran dia melengkapkan gandingan Faisal Halim dan Kpah. Saya harap jurulatih akan sentiasa turunkan dia. Dia boleh melengkapi kekurangan TFC sekarang," katanya menerusi laman Facebook Terengganu FC.
Sebagai rekod, pemain dengan ketinggian 171 meter itu mengumpul 20 minit perlawanan setelah ditampilkan dalam tiga perlawanan sahaja dalam saingan Liga Super musim ini.
Antaranya adalah perlawanan menentang PJ City FC pada 1 Ogos, perlawanan menentang JDT pada 10 Ogos dan perlawanan menentang Sarawak United, Sabtu lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram