PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membincangkan bersama dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengenai insiden-insiden pergaduhan dan kekecohan dalam kalangan penonton di stadium.
Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, badan induk itu sememangnya akan memberi perhatian serius mengenai insiden sedemikian seperti kejadian yang berlaku baru-baru ini di Stadium Hang Jebat, Melaka.
“Insiden kekecohan, pergaduhan penonton ini serius dan perlu ditangani,” katanya ketika mengulas insiden kekecohan dan pergaduhan penonton semasa aksi Liga Super, Melaka United FC menentang Sri Pahang FC di Stadium Hang Jebat, pada Sabtu.
Tambahnya lagi, pihaknya juga akan membawa perkara berkenaan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan dalam masa terdekat.
“Kita memang melihat perkara ini sebagai sesuatu yang serius dan sudah semestinya kita akan duduk bersama-sama dengan MFL untuk berbincang lebih lanjut mengenainya dalam usaha mencari jalan penyelesaian.
“Perkara ini juga akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan FAM dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.
Malah, pada mesyuarat itu juga FAM akan melibatkan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali bagi mempengerusikan agenda berkenaan.— Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram