SEORANG lelaki dipercayai mabuk yang bertindak memusnahkan harta benda awam mengundang kebimbangan orang ramai.
Kejadian tular di laman Twitter sejak Isnin itu memaparkan, suspek yang memakai kemeja putih tersebut mematahkan papan tanda jalan raya, sebelum memecahkan mesin air di kedai runcit berdekatan serta menendang tayar kereta orang awam.
Dalam kejadian itu juga, lelaki tersebut mengomel dalam bahasa yang sukar difahami ketika melakukan vandalisme berkenaan.
Dia yang kemudiannya duduk di kaki lima ditenangkan oleh orang ramai yang berada berdekatan dengan lokasi kejadian.
Difahamkan, kejadian berlaku di Taman Intan, dekat Kluang, Johor, manakala masa kejadian masih belum dapat dipastikan.
Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa, manakala Majoriti masih cuba mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan lelaki itu, selain simpati dengan harta benda awam yang menjadi mangsa vandalisme tersebut.
Husna Adila menulis: "Tak pasal-pasal barang orang lain jadi mangsa, ni kalau dia tak mampu bayar macam manalah mangsa nak tuntut ganti rugi?"
Mohd Shahrul berkata, lelaki tersebut tidak sepatutnya minum minuman keras sehingga menyusahkan orang lain.
"Inilah bahana arak. Sebelum ni ada kes mabuk langgar lari macam tu sahaja. Sekarang mabuk harta benda orang pula nak dirosakkan," katanya kesal.
Selain itu, Shukor Adnan berkata, meskipun marah dengan perbuatan lelaki tersebut, namun dia juga memahami lelaki tersebut dalam keadaan kurang waras ketika mabuk.
"Memang salah apa yang dia buat, tapi mungkin dia ada masalah lain sehingga mabuk, lepas tu tak ada siapa yang boleh mendengar dan selesaikan masalah dia," katanya.
Membalas komen tersebut, Nora Lili berkata, walaupun lelaki tersebut mempunyai masalah sendiri, dia tidak sepatutnya menyusahkan dan memberi masalah kepada orang lain.
"Kenapa kalau dia ada masalah tapi nak lepaskan dekat orang lain. Tak faham betul." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram