SEORANG remaja maut selepas dipercayai terkena panahan petir dalam kejadian di padang awam Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor pada petang Ahad.
Difahamkan mangsa merupakan salah seorang peserta karnival bola La Gila Soccer Tournament Piala Merdeka kategori bawah 17 tahun (U17).
Menurut sumber, mangsa yang berusia 17 tahun itu sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya.
"Ketika kejadian, cuaca tak hujan tapi secara tiba-tiba kena panah petir. Doktor memaklumkan panahan itu mungkin memberi kesan kepada jantung," katanya kepada Majoriti.
Mangsa yang berusia 17 tahun menerima rawatan di ICU Hospital Putrajaya sebelum disahkan meninggal dunia.
Menurut sumber, terdapat seorang lagi mangsa yang menerima nasib sama namun tidak dapat dipastikan keadaannya.
Semakan Majoriti mendapati, karnival bola sepak itu berlangsung selama dua hari di bawah kelolaan Tunas Patriot Cyber Football Club.
Kelulusan menggunakan padang bagi tujuan perlawanan bola sepak itu pula diberikan kepada penganjur oleh Majlis Perbandaran Sepang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram