Nyawa-nyawa ikan selepas ditangkap JPAM, pemilik syak Romeo jadi mangsa keadaan


  • Tular
  • Isnin, 15 Ogos 2022

Gambar terakhir Romeo sebelum ditangkap oleh JPAM. — Facebook

SEORANG wanita berkongsi kisah mendakwa haiwan peliharaannya mati ketika ditangkap oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dipercayai berlaku di Seremban, Negeri Sembilan.

Menerusi perkongsian wanita itu di Facebook, kucing perliharaannya yang dibela di dalam rumah terlepas keluar dan ditangkap oleh JPAM sebelum memaklumkan haiwan tersebut sudah mati.

Wanita tersebut mendakwa kucing yang dikenali sebagai Romeo itu masih kelihatan sihat dan aktif melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum ditangkap oleh JPAM.

Pemilik kucing berkenaan, Nurfareesha Adam Khan, 30, berkata, Romeo dipercayai hilang pada 9 Ogos (Selasa) dan dia mendapat maklumat tentang haiwan tersebut diambil JPAM pada 13 Ogos (Sabtu).

"Pada malam 8 Ogos (Isnin) sebelum saya masuk tidur kebiasaannya saya akan tambahkan makanan kucing, air dan bersihkan mereka, ketika itu Romeo masih ada. Sekitar pukul 12 hingga 1 pagi saya ada jenguk dan Romeo masih ada, jadi saya pasti dia terlepas dalam anggaran 1 atau 2 pagi pada 9 Ogos (Selasa).

"Selepas itu hampir setiap hari saya cari dan bertanya pada group chat kejiranan, dan pengawal keselamatan tetapi semua tak nampak Romeo.

"Sehinggalah pada Sabtu (13 Ogos), suami saya balik kerja sekitar pukul 6 pagi, dia berjumpa pengawal keselamatan yang bertugas malam, dan memaklumkan pihak JPAM mengambil kucing saya pada Selasa (9 Ogos)," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2022-08-15 at 11.31.11 AM

Tangkap layar hantaran di Facebook.

Selepas kejadian itu, Nurfareesha terus menghubungi JPAM Seremban, Negeri Sembilan untuk mengesahkan kejadian tersebut namun pihak terbabit mengatakan tiada sebarang tangkapan kucing.

"Semas hubungi JPAM pagi itu, mereka berkata bukan tugas mereka menangkap kucing.

"Jadi saya mengalah dan saya hubungi balik guard tersebut jika dia yakin itu JPAM dan dia menyatakan empat anggota JPAM menangkap kucing saya sebab dia yang laporkan di talian 999 kerana ada penduduk di situ meminta bantuannya menyelamatkan kucing berkenaan kerana bimbang ia akan bergaduh dengan anjing peliharaannya. Ketika itu, kucing berkenaan ada di bawah kereta rumah pengadu.

"Pada hari kejadian, JPAM sampai sekitar pukul 6 pagi dan mereka mengambil masa lama juga untuk tangkap kucing saya sebab katanya ia melawan tetapi akhirnya dapat dimasukkan dalam guni dan diletakkan dalam van," jelasnya.

WhatsApp Image 2022-08-15 at 4.57.01 PM

Tangkap layar CCTV semasa kejadian JPAM menyelamatkan haiwan tersebut.

Wanita itu berkata, JPAM memaklumkan keadaan kucingnya sudah cedera dan lemah semasa mereka menyelamatkan haiwan tersebut, sedangkan sebelum itu Romeo masih lagi dalam keadaan sihat dan baik.

"Dia kata masa 'selamatkan' kucing saya, keadaan dia dah teruk, cedera dan mati dalam perjalanan balik ke pejabat JPAM.

"Selepas itu pada Ahad, saya ada buat laporan polis untuk tujuan rujukan JPAM sebab nak tengok kubur Romeo, namun saya tak dapat kenal pasti kerana rupa ia berbeza dan musykil juga kerana warna bulu kucing saya lain dengan bangkai ditanam.

"Pihak polis tidak mahu meneruskan siasatan dan mahu kami selesaikan dengan JPAM, yang terkini saya sudah laporkan kepada Persatuan Haiwan dan Jabatan Veterinar Negeri Sembilan," ujarnya.

Di ruangan komen Facebook, rata-rata orang ramai memberi pelbagai reaksi tentang kejadian yang berlaku dan ada mengharapkan wanita itu bersabar kerana kehilangan haiwan perliharaannya.

"Kenapa nak kena panggil JPAM? Ini kucing bukan harimau, saya pun banyak kali kena gigit kucing sendiri tapi tak ada nak panggil JPAM, kucing kalau garang ada caranya,cara paling mudah halau dengan penyapu," kata Airi Shiyaku.

"Bawa kes ini ke mahkamah, biar jadi pengajaran kepada yang terlibat," luah Lukman Al Hakim.

"Moga ada keadilan buat Romeo mungkin cara tangkap menyebabkan kematian, jerut dileher? Siapa tahu sebab tak masuk akal tiba-tiba tangkap dah nyawa ikan," ujar Yok Mariyok.

"Patut sebelum bertindak ambil tahu siapa punya kucing bukan main tangkap sahaja, kucing cantik elok sihat mesti ada tuan, semoga ada keadilan buat Romeo," tulis Eira Nazmi.

Belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram