PEMILIK Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini pernah menyatakan yang perlawanan Liga Malaysia (Liga M) akan bertambah menarik bila diadakan pada sebelah siang.
Perlawanan Liga M sebelum ini diadakan pada sebelah malam dan hanya beberapa perlawanan sahaja yang diadakan pada sebelah petang disebabkan beberapa faktor teknikal melibatkan stadium.
Namun, adakah pemain dapat bertahan untuk beraksi di sebelah petang terutamanya melibatkan perlawanan berintensiti tinggi?
Setakat ini, kita boleh menyaksikan Kelantan FC yang bermain di sebelah petang dan hasilnya, pemain dilihat terlalu penat hingga sukar untuk beraksi hingga tamat perlawanan.
Dua pemain Kelantan yang rebah sendiri ketika di minit akhir perlawanan. — Facebook
Perkara itu dimaklumkan pemerhati bola sepak Kelantan, Zuraimi Zukri, yang menilai aksi pemain Kelantan FC ketika menentang PDRM FC baru-baru ini.
"Pada minit ke-85, selepas Kelantan melakukan serangan balas, Felipe Hereda dan Nurshamil tersungkur. Bukan kekasaran tetapi rebah dengan sendirinya.
"Filipe request ditukar tetapi dia kemudiannya perlu bermain sehingga tamat perlawanan. Dia dah kehabisan tenaga secara total.
"Malah, pemain itu juga terpaksa menyuntik pain killer sebelum perlawanan," katanya.
Jelasnya, Filipe merupakan tunjang penting untuk Kelantan FC melakukan pecutan akhir dalam perlumbaan kejuaraan.
Malah katanya, kalau pasukan itu tidak bergelar juara sekalipun dia tidak kisah kerana bermain selama sembilan perlawanan pada waktu petang bukan sesuatu yang mudah.
Sebahagian daripada aksi pertemuan antara Kelantan FC menentang PDRM FC baru-baru ini. — Bernama
"Pemain sudah mengalami keletihan melampau. Fizikal mereka semakin merosot dan ramai telah berada dalam senarai kecederaan.
"Ia adalah kesan bermain petang secara berturut-turut dan pada tiga perlawanan terakhir mereka bermain dalam tempoh seminggu.
"Bermain petang bukanlah perkara baru di Malaysia, tetapi perlu bermain secara berturut-turut sebanyak sembilan perlawanan adalah luar biasa.
"Ia berlaku kerana Stadium Sultan Muhammad IV tidak boleh digunakan. Semua perlawanan away terpaksa didahulukan," katanya.
Jelasnya, jika bermain malam, isu keletihan tidak timbul dan senarai kecederaan juga masih terkawal.
Tambahnya, jika tidak sekurang-kurangnya pemain boleh bermain petang dan malam secara berselang seli atas sebab main home dan away.
"Mesej ni ramai tak dapat. Mereka nampak main petang itu bukan perkara luar biasa, ya betul. Tetapi mereka tak nampak situasi sembilan perlawanan berturut-turut main petang. Yang ni mereka terlepas pandang," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram