MISI pasukan Johor Darul Takzim (JDT) untuk melakar satu lagi sejarah bola sepak tempatan dengan menempah tiket ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia (ACL), dilihat bakal menemui laluan sukar.
Mana tidaknya, Urawa Red Diamonds dari Jepun yang akan ditentang mereka pada pusingan 16 akhir Jumaat ini baru sahaja berpesta gol setelah membenam pasukan senegaranya, Jubilo Iwata 6-0 pada aksi Liga 1 Jepun (J1), Sabtu lalu.
Melihat kepada situasi tersebut, penyokong berharap pasukan Harimau Selatan lebih berwaspada ketika berdepan perlawanan kalah mati menentang Urawa nanti di mana JDT telah berangkat ke Jepun pada Ahad.
Menerusi laman Facebook Semuanya BOLA, seorang penyokong yang menggunakan nama Encik Sani mahu perkembangan terkini juara dua kali ACL tersebut membuka mata JDT berkenaan kekuatan lawan mereka itu.
"Wake up call untuk JDT. Ini peringkat kalah mati. Salah satu wakil Malaysia yang dah berada di peringkat tertinggi.
"Bagi saingan ini, hanya ada dua kemungkinan yang bakal terjadi. Jika JDT kalah di tangan Urawa. Ini bermaksud, perjalanan JDT di saingan ACL akan terhenti.
Keputusan terkini yang dicetak Urawa membuatkan penyokong mahu JDT berwaspada. — Facebook/ J1
"Bagaimanapun, JDT tidak akan rugi apa-apa. Ini kerana sasaran awal adalah untuk melepasi pusingan 16 terakhir dah tercapai, masih boleh cuba tahun depan.
"Tetapi, sekiranya JDT menang ke atas Urawa. JDT akan naik 'pangkat' dalam liga ACL. Memang mantaplah JDT. Sebab JDT akan menghadapi beberapa lapis kelab-kelab hebat selepas itu.
"Adakah peluang untuk JDT genggam Piala ACL buat julung kalinya bakal terbuka?" soalnya.
Mohd Soleheen turut menambah, "Saya tonton juga perlawanan hari itu (Sabtu). Teruk juga pasukan Urawa membedal Jubilo. Mereka memang agresif," katanya.
Pada April lalu, JDT memahat sejarah apabila layak ke pusingan kalah mati dalam saingan ACL buat pertama kali sejak menyertai kejohanan berprestij Asia itu secara automatik pada 2019.
JDT meraih kejayaan tersebut selepas menewaskan gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram