KETIKA hadir menjalani rutin pemeriksaan kandungan semasa hamil di sebuah hospital pada 2007, wanita itu duduk di bangku sambil tercari-cari bahan bacaan untuk menghilangkan sedikit rasa bosan semasa menunggu giliran.
Namun memandangkan tiada bahan bersesuaian, dia membawa majalah-majalah wanita dari rumah dan meletakkannya di sebuah rak kosong di ruang menunggu.
Siapa sangka bertitik tolak dari situ tercetusnya idea buat Zatika Izati Puade, 45, untuk mewujudkan Gerakan Baca Sambil Menunggu (GBSM) pada 2010 yang bertujuan memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat.
Troli tiga tingkat diubah suai sebagai rak buku. — Facebook
Bermula dari skala kecil, inisiatif menyediakan troli tiga tingkat sebagai rak buku kini sudah digerakkan ke skala lebih besar dengan menyantuni pusat gelandangan, pusat kuarantin, rumah perlindungan wanita, hospital dan beberapa tempat lagi menerusi sumbangan bahan bacaan.
"Saya amat bersyukur kerana setiap kali saya uar-uarkan tentang projek ini, pasti ada sahabat handai, saudara mara yang membantu menyumbang buku atau wang ringgit. Tanpa mereka, tak mungkin kami dapat jayakan projek-projek ini," kata bekas akauntan yang berasal dari Muar, Johor itu kepada Majoriti.
Menyelami lebih mendalam minat wanita itu terhadap buku, Zatika memberitahu, ia dipupuk scara tidak langsung oleh arwah ayahnya yang juga bekas guru sekolah rendah.
Menurut anak sulung daripada sembilan beradik itu, sejak dari kecil lagi, ayahnya suka membeli buku untuk mereka.
"Memori zaman kanak-kanak saya, ada banyak buku-buku tebal bahasa Inggeris yang dibeli dari luar negara. Buku-buku ini kami tidak simpan di rak tetapi dibaca sehingga lunyai," katanya.
Zatika (dua, kiri) turut menyumbangkan bahan bacaan di Hospital Sungai Buloh. — Facebook
Tambah Zatika, ayahnya juga akan membeli akhbar bahasa Inggeris supaya mereka dapat belajar membaca dan menulis menerusi pembacaan naskhah itu.
"Kami cuma dapat membaca surat khabar berbahasa Melayu pada hari minggu sahaja. Ayah tahu anak-anaknya suka membaca jadi dia belikan buku atau komik kegemaran kami.
"Biasanya sayalah yang dapat baca dahulu sebab saya anak sulung. Adik-adik lain menunggu giliran dengan sabar. Itulah antara kegembiraan yang tidak dapat dilupakan apabila melihat senaskhah komik atau majalah Mastika di celah-celah surat khabar yang ayah bawa balik," katanya.
Zatika yang kini bekerja sendiri sebagai penterjemah bebas berkata, dia berasa puas dapat melihat orang ramai memanfaatkan bahan bacaan atau buku yang disumbangkan.
Meskpun pendapatan freelancing tidak banyak mana, dia bersyukur kerana dapat menggunakan wang itu untuk membayar kos overhead seperti minyak, tol, membuat pelekat dan sebagainya apabila menjalankan projek troli buku GBSM.
Dia juga mengakui berdepan cabaran untuk mengajak masyarakat membaca pada zaman semua orang mempunyai telefon pintar.
"Ada juga yang berkata, mana ada orang membaca lagi zaman sekarang?
"Dulu-dulu, saya main redah sahaja apabila mahu meletakkan bahan bacaan di hospital. Tanya nurse, nurse beri lampu hijau, kami pun susun majalah di rak yang ada.
Antara sumbangan buku yang diserahkan ke Jabatan Kerja Sosial Hospital Ampang baru-baru ini. — Facebook
"Ada juga yang minta saya berhubung terus dengan Jabatan Komunikasi Korporat atau pihak pengurusan. Mula-mula saya rasa hal itu agak leceh namun, apabila saya berkomunikasi dengan mereka, barulah saya faham.
"Sesetengah bahan bacaan tidak sesuai untuk diletakkan di tempat berkaitan. Sebagai contoh, hospital rakan bayi yang menggalakkan penyusuan ibu, tidak boleh diletakkan majalah atau bahan bacaan yang ada gambar botol susu, puting susu atau iklan susu formula walaupun majalah berunsur kekeluargaan.
"Ini dianggap melanggar dasar mereka (penyusuan ibu). Saya akur sebab ia diibaratkan orang masuk ke rumah kita, tiba-tiba beri barang percuma tetapi tidak sesuai dengan norma dan nilai kita sekeluarga," kongsinya.
Sementara itu, berkongsi perancangan masa depan, Zatika berkata, dia mahu berusaha meninggalkan lebih banyak jejak GBSM di seluruh negara.
"Saya panjatkan doa dan berharap ALLAH dapat meminjamkan nyawa, masa, wang dan tenaga untuk berbuat demikian," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram