Sukar tolak 'stroller', wanita persoal fungsi tonggak jalan laluan pejalan kaki


  • Tular
  • Isnin, 15 Ogos 2022

Tangkap layar video kereta sorong sukar untuk melalui tonggak jalan di sebuah laluan pejalan kaki.

SEORANG wanita kesal apabila terpaksa bersusah payah menolak anak perempuannya menggunakan kereta sorong atau stroller, di tonggak jalan di sebuah laluan pejalan kaki.

Menerusi laman Twitter, Emma Yuliana berkongsi video tentang kesukaran melalui tonggak jalan itu di sebatang jalan raya di Kuala Lumpur.

"Saya tidak tahu kenapa DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) memasang begitu banyak bollard yang menghalang laluan pejalan kaki.

"Saya tertanya-tanya bagaimana pula keadaan orang cacat dan orang kurang upaya (OKU) untuk melaluinya. Boleh anda bayangkan?" soalnya.

Menjengah ke ruangan komen, ada netizen yang menganggap, terdapat pihak lain yang melakukan masalah lebih besar selepas kewujudan tonggak jalan itu.

@K0G579 berkata: "Anda akan lihat penunggang motosikal menggunakan laluan tersebut (untuk meletakkan kenderaan). Ya, kita boleh salahkan DBKL tetapi masalah sebenarnya ialah penunggang motosikal."

Turut berpendapat sama, @sangkancilguru menulis: "Ramai penunggang motosikal akan menghalang laluan pejalan kaki. Tak ada kesedaran sivik."

@AiringBells berpendapat, terlalu ramai rakyat negara ini yang mementingkan diri sendiri kerana mereka akan meletakkan kenderaan termasuk kereta dan motosikal di tempat tersebut.

"Jadi, pihak berwajib sama ada sudah melakukan langkah penyelesaian atau mereka berputus asa dan tidak berbuat apa-apa."

@RakyatAduan menambah: "Laluan pejalan kaki di KL disalahgunakan oleh penunggang motosikal dan pihak berkuasa tidak boleh mendakwa mereka, atau ahli politik akan kehilangan undi dalam pilihan raya."

Sementara itu, DBKL ketika dihubungi akan memberi kenyataan rasmi mengenai perkara itu dalam masa terdekat.

Tonggak jalan berfungsi sebagai pembahagi atau pemisah laluan pejalan kaki dari laluan bermotor untuk kemudahan OKU.

Ia selalunya diletakkan di tepi laluan pejalan kaki dan laluan bermotor. Selain itu, ia juga diletakkan di permulaan laluan pejalan kaki dan lintasan belang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram