Ping pong negara kempunan emas Komanwel, sekali lagi dikecewakan Singapura


  • Podium
  • Isnin, 01 Ogos 2022

Skuad ping pong wanita negara terpaksa berpuas hati dengan pingat perak. — FB Olimpic Council of Malaysia

SINGAPURA sekali lagi menjadi batu penghalang kepada skuad ping pong wanita negara untuk meraih pingat emas selepas ditewaskan pasukan negara jiran itu dalam perlawanan akhir acara itu di Sukan Komanwel 2022 di Birmingham pada Isnin.

Apa yang lebih menarik, keputusan perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan 3 Pusat Pameran Kebangsaan itu menyaksikan Singapura memperoleh emas sulungnya dalam temasya sukan tersebut. Malaysia pula gagal untuk membalas dendam kekalahan 0-3 kepada lawan dari seberang tambak itu pada final edisi Glasgow 2014 dan terpaksa berpuas hati dengan perak kedua mereka.

Beregu Malaysia, Karen Lyne-Ho Ying gagal meneruskan momentum kemenangan selepas memenangi set pertama dengan menewaskan beregu lawan Zeng Jian-Zhou Jingyi, 11-7 yang kemudiannya bangkit dan memenangi tiga set seterusnya, 11-4, 11-5, 11-6.

Pemain perseorangan Singapura, Feng Tianwei kemudian meletakkan pasukannya di hadapan dengan kedudukan 2-0 selepas menumpaskan Alice Chang Li Sian, 11-9, 11-1, 11-7.

Selepas tewas dalam dua set pertama kepada Jian, 3-11, 4-11, harapan terakhir Malaysia, Ying memberikan sedikit harapan untuk skuad negara bangkit dengan memenangi set ketiga 11-8.

Bagaimanapun, Ying gagal meneruskan momentum itu dan kecundang 5-11 dalam set keempat.

Kemenangan itu menyaksikan Singapura meraih emas kelima mereka dalam acara berpasukan wanita sejak sukan itu dipertandingkan di Sukan Komanwel Manchester 2002 sementara Malaysia meraih perak kedua dalam tempoh yang sama.

Sementara itu, Australia memperoleh gangsa selepas menewaskan Wales 3-0. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram