Suratan atau kebetulan, 4 kelab terpalit isu melengahkan 'game'


  • Podium
  • Selasa, 02 Ogos 2022

Isu melengah-lengahkan masa perlawanan mencerminkan kualiti pengadilan Liga M. — Facebook/NSFC

TIADA apa yang lebih menjengkelkan peminat bola sepak daripada melihat pemain berlakon cedera, membuang masa dan melengah-lengahkan masa ketika perlawanan berlangsung.

Barisan penyokong pasti bosan melihat perlawanan yang lebih banyak masa terbuang disebabkan perkara-perkara tidak sepatutnya.

Bukan apa, peminat hadir memberikan sokongan kepada pasukan dengan harapan pemain-pemain dapat memberikan sepenuh fokus kepada permainan.

Isu melengahkan masa perlawanan ini mencerminkan kualiti pengadilan Liga Malaysia (Liga-M) yang dikatakan masih berada di tahap rendah.

Suka atau tidak, berikut adalah empat kelab domestik yang pernah mencetuskan kemarahan pihak lawan kerana sikap pemain mereka yang suka melambat-lambatkan permainan.

Aksi pemain JDT, Bergson Da Silva (jersi merah biru) ketika menentang Penang FC. Facebook/ JDT

1. Penang FC

Skuad Harimau Kumbang dikritik pedas oleh pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada aksi Liga Super melibatkan kedua-dua pasukan pada 4 Mac lalu.

Biarpun JDT berjaya mengatasi Penang FC 2-0, namun rentak perlawanan yang sengaja dilambat-lambatkan di bahagian pertahanan Harimau Kumbang jelas melelahkan pemain-pemain JDT.

Mengikut statistik perlawanan, skuad JDT yang ketika itu di bawah kendalian Benjamin Mora hanya betul-betul bermain selama 46 minit daripada 90 minit aksi sebenar, dengan baki 44 minit lagi terbuang begitu saja.

Baginda turut mendedahkan taktikal bertahan itu sememangnya diarahkan oleh pengendali Penang FC ketika itu, Tomas Trucha selepas ia didakwa diakui pemain Penang FC sendiri.

Selangor FC vsss

Pemain KL City FC, Muhammad Hadin Azman (jersi nombor 2) meraikan jaringannya pada aksi menentang KL City. Agensi

2. KL City

Jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner pernah berang dengan tindakan pemain-pemain KL City ketika aksi derbi Lembah Klang melibatkan kedua-dua pasukan pada 4 Mac lalu.

Selain itu, jurulatih asal Jerman itu mempersoalkan kenapa pengadil tidak memberikan masa kecederaan yang lebih banyak kerana pemain KL City didakwa dengan sengaja cuba melengahkan waktu permainan.

Menurut Feicthenbeiner, pasukan KL City sengaja berbuat demikian setelah mendahului untuk memastikan pasukan Selangor tidak berpeluang menyamakan kedudukan.

Aksi Liga Premier melibatkan pasukan Kuching City dan pasukan The Red Warriors. MFL

3. Kuching City

Kelab Borneo, Kuching City juga dikatakan sengaja melengahkan perlawanan dengan kecederaan pada aksi menentang pasukan The Red Warriors (TRW) pada 11 April lalu.

Menurut pemerhati sukan TRW, Zuraimi Zukri, hanya 50 minit permainan bola sepak, selebihnya aksi pemain jatuh dan cedera.

Ia dapat dilihat dalam 30 minit pertama apabila pemain Kuching City 'cedera' lebih dari 10 kali.

Melihat situasi itu, pemilik TRW, Norizam Tukiman kemudiannya memuat naik status dan berjanji jika pasukannya mendahului perlawanan, mereka tidak akan mengamalkan permainan seperti yang dilakukan Kuching City.

NSFC

Syihan Hazmi beraksi baik dalam perlawanan menentang JDT namun dia dikatakan punca masa tambahan 10 minit diberikan. Facebook/ NSFC

4. Negeri Sembilan Football Club (NSFC)

Pertambahan masa 10 minit bagi masa kecederaan ketika aksi Liga Super melibatkan NSFC berdepan JDT pada 11 Mei lalu juga sedikit sebanyak menimbulkan kontroversi dalam kalangan pemerhati bola sepak domestik.

Ramai yang menyatakan punca masa tambahan diberikan adalah kerana kesilapan penjaga gol NSFC, Syihan Hazmi yang terlalu asyik berlakon sehinggakan masa perlawanan ditambah selama 10 minit.

Menurut penyokong skuad Jang Hobin, Syihan melakukan banyak aksi dramatik seperti terbaring, mengadu sakit kaki sehingga membuatkan jurulatih NSFC, K. Devan risau ia akan memakan diri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram