Korea Selatan cipta tatu nanoteknologi pantau kesihatan


  • Benua
  • Selasa, 02 Ogos 2022

Rakyat Korea Selatan boleh membawa peranti di dalam badan mereka sendiri dalam bentuk tatu—Agensi

RAKYAT Korea Selatan tidak lama lagi mungkin boleh membawa peranti dalam bentuk tatu di tubuh mereka di mana ia secara automatik akan memaklumkan mengenai masalah kesihatan yang dialami.

Penyelidik di Korea Advanced Institute of Science and Technology (KAIST) di bandar Daejeon, barat daya Seoul telah membangunkan dakwat tatu elektronik yang diperbuat daripada logam cecair dan tiub nano karbon yang berfungsi sebagai bioelektrod.

Disambungkan pada peranti elektrokardiogram (ECG) atau biosensor lain, ia boleh menghantar bacaan kadar denyutan jantung pesakit dan simptom penting lain seperti glukosa dan laktat ke monitor.

tatu2

Steve Park, professor Sains & Kejuruteraan Bahan KAIST menunjukkan tatu elektronik pada lengannya. — Agensi

"Pada masa hadapan, apa yang kami ingin lakukan ialah menyambungkan cip 'wireless' yang disepadukan dengan dakwat ini, supaya kami boleh berkomunikasi dan boleh menghantar isyarat dua hala antara badan ke peranti luaran," kata ketua projek Steve Park, seorang profesor sains bahan dan kejuruteraan.

Pemantau sedemikian secara teori boleh ditempatkan di mana-mana, termasuk di rumah pesakit.

Dakwat berkenaan diperbuat daripada zarah berasaskan galium, logam lembut dan keperakan yang juga digunakan semikonduktor dalam termometer. Tiub nano karbon yang dihias platinum pula berfungsi membantu mengalirkan elektrik sambil memberikan ketahanan pada tubuh si pemakai.

"Apabila dakwat tersebut dilekatkan pada kulit, walaupun ianya digosok, tatu itu tetap tidak akan hilang." kata Park. — Agensi