Sanggup belanja RM1.75 juta demi pasarkan filem ke Indonesia


  • Hiburan
  • Selasa, 02 Ogos 2022

Filem Perjalanan Pertama menampilkan Tarmimi Siregar (kanan) sebagai teraju utama.

SANGGUP berbelanja hampir RM1.75 juta semata-mata mahu menembusi pasaran filem Indonesia.

Itu taruhan yang dibuat sebuah syarikat produksi tempatan, D'Ayu Pictures menerusi filem pertama yang berjudul Perjalanan Pertama.

Penerbitnya, Datuk Rosmarayu Mokhtar berkata, filem pertama terbitan syarikatnya itu merupakan usahasama bersama syarikat produksi Indonesia, Mahakarya Pictures.

"Orang tanya kenapa saya berani buat pelaburan yang besar untuk menerbitkan filem ini.

"Tujuan utama saya adalah untuk mengetahui sendiri tentang proses pembikinan serta pasaran filem di Indonesia," katanya kepada Majoriti.

MV5BMDkwM2I1ZmYtOGI5Ni00OTRhLTg0ZGYtMTc3MDFmZmFiOTUzXkEyXkFqcGdeQXVyMTE4MTAxMzUx._V1_

Filem Perjalanan Pertama yang kini ditayangkan di Indonesia.

Menceritakan lebih lanjut mengenai pembikinan filem itu, Rosmarayu memberitahu, ia menelan kos sebanyak RM1.75 juta, manakala penggambaran pula dilakukan di Bukit Tinggi, Indonesia.

"Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan pembikinan filem ini, malah sebagai pelabur kami memang terbabit sejak daripada pra produksi, skrip, penggambaran sehinggalah filem ini siap sepenuhnya.

"Apa yang menariknya, Perjalanan Pertama juga akan ditayangkan di 400 pawagam atau skrin di seluruh Indonesia bermula 14 Julai lalu dan di Malaysia pula bakal menemui penonton pada 18 Ogos depan," jelasnya.

Sebagai sebuah filem kolaborasi Malaysia dan Indonesia, Perjalanan Pertama menampilkan dua pelakon utama kedua-dua negara berkenaan iaitu Datuk Ahmad Tamimi Siregar dan pelakon kanak-kanak popular Indonesia, Muzakki Ramdhan.

Selain itu, ia turut dibintangi beberapa pelakon popular lain seperti Randy Pangalila, Adinda Thomas, Gilang Dirga, Komo Ricky dan Angelica Petra.

Perjalanan Pertama - Launching 1

Sebahagian daripada pelakon yang membintangi filem Perjalanan Pertama.

Perjalanan Pertama yang diarahkan sutradara Arief Malinmudo mengisahkan tentang Tan, seorang pekerja kedai cenderamata di sebuah kampung serta tinggal bersama cucunya, Yahya.

Yahya yang semakin membesar sering bertanya kepada datuknya tentang identiti ibu bapanya.

Ternyata, semua persoalan akhirnya terjawab ketika mereka menghadapi masalah sewaktu dalam perjalanan untuk menghantar sebuah lukisan yang juga merupakan mas kahwin untuk satu pasangan yang akan bernikah. Sebuah perjalanan yang akan mengubah seluruh hidup Yahya dan Tan.

Dalam pada itu, Rosmarayu memberitahu, syarikat D’Ayu Pictures dan Mahakarya Pictures bakal menerbitkan filem kedua iaitu sebuah filem thriller yang menjalani penggambaran di Jakarta, Indonesia pada tahun depan.

Selain itu, beliau menyatakan syarikatnya itu juga sudah pun siap menghasilkan sebuah filem tempatan berjudul Daddyku Gangster. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram