Nyaris diserang hendap, pesara tentera kongsi pengalaman bunuh komunis


Panir Chellvum mengimbau pengalaman berdepan pengganas komunis ketika ditemui di kediamannya di Seri Kembangan, Selangor. — Facebook/JHEV ATM

KEJAYAAN membunuh dan menangkap anggota komunis adalah antara yang paling membanggakan bagi bekas pegawai tentera Kpt (B) V. Panir Chellvum sepanjang 12 tahun berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Panir Chellvum, 67, berkata, perisitiwa bersejarah dalam hidupnya itu berlaku ketika beliau terbabit dalam ‘Op Pagar’ antara ATM dan polis bagi memburu ancaman komunis di Gerik, Perak pada 14 Februari 1977.

Berkongsi pengalaman itu, dia berkata, kejadian berlaku ketika beliau berusia 22 tahun dan berpangkat Leftenan Muda.

Beliau ditugaskan untuk mengetuai kumpulan yang dianggotai empat lagi rakan sepasukan melakukan serang hendap terhadap ancaman komunis selepas mendapat maklumat risikan ‘kategori A’ daripada pihak polis.

Tanpa memikirkan soal gentar atau takut dalam mempertahankan kedaulatan negara, Panir Chellvum dan pasukannya bergerak dalam kegelapan malam ke lokasi operasi jauh di dalam hutan.

Semasa beliau dan pasukannya meletakkan claymore mine (periuk api) di lokasi tersebut, mereka dikejutkan dengan pancaran lampu suluh musuh dari arah belakang sebelum seorang ahli pasukannya melepaskan tembakan.

Musuh seramai kira-kira 15 orang terkejut dengan tembakan itu, kemudian kedua-dua kumpulan saling berbalas tembakan selama 30 minit.

296862905_5272981396090114_4120021413422025208_n

Panir (kiri) tidak menyangka dia menumpaskan seorang ketua kumpulan komunis ketika terbabit dalam ‘Op Pagar’ pada 1977. — Facebook JHEV ATM

"Ketika itu juga kami terdengar jeritan suara yang disebut dalam bahasa Cina ‘cau’ yang bermaksud lari dan kami berhenti menembak.

"Selepas itu kami terdengar bunyi geseran daun kering di hadapan kami. Saya tahu ini bunyi gerakan musuh yang kembali mendekati kedudukan kami.

"Apabila bunyi gerakan semakin hampir, saya melontarkan lima grenad ke arah bunyi tersebut dan empat daripadanya meletup.

"Musuh sudah berlarian dan saya terus menghubungi pasukan Artillery Fire untuk memberikan kami illuminating rounds. Ketika itu saya dapat melihat banyak beg galas kepunyaan musuh dan juga terlihat seorang anggota komunis terbaring betul-betul di hadapan saya,” katanya.

Menurut Panir Chellvum, beliau terus meluru ke arah musuh tersebut dan menembaknya sehingga mati sebelum mereka kembali ke kedudukan asal dan berjaga-jaga di kawasan tersebut hingga pagi.

Keesokannya ketika meninjau di sekitar kawasan pertempuran, Panir Chellvum berjaya menawan seorang anggota komunis yang sedang ketakutan selepas ditinggalkan oleh rakan-rakannya yang lain. Setelah disoal siasat, tawanan tersebut memberitahu bahawa musuh yang terbunuh itu adalah ketuanya.

Susulan kejayaan itu, Panir Chellvum menerima Pingat Gagah Berani pada 1978. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram