'Garang bonar Milah' — Skuad wanita NSFC menang 22 gol tanpa bolos


  • Podium
  • Jumaat, 29 Jul 2022

Skuad Milah mencatatkan kemenangan besar 22-0 dalam aksi LWN Zon Selatan pada Jumaat. — PBNS

PASUKAN bola sepak wanita Negeri Sembilan FC (NSFC) sekali lagi menggegarkan Liga Wanita Nasional (LWN) 2022 apabila membelasah DCL FC dengan keputusan 22-0 pada Jumaat.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) menyenaraikan keputusan penuh serta senarai nama pemain yang berjaya menjaringkan gol, pada perlawanan yang berlangsung di Padang Dataran Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) D, dekat Johor Bahru, Johor.

Henrietta Justine muncul sebagai penjaring terbanyak Skuad Milah, apabila berjaya menyumbang sebanyak lima gol dalam perlawanan tersebut.

Sementara itu, Ayuna dan Natasya pula menyumbang tiga gol; diikuti Iv Alley, Aina, Farishah, dan Felicity masing-masing meledak dua gol.

Selain itu, satu gol masing-masing disumbangkan oleh Balqis dan Khairin.

Ini merupakan kemenangan kedua terbesar Skuad Milah yang turut mencatatkan kemenangan besar apabila menewaskan FMW FC dengan keputusan 23-0 pada Jun lepas.

Dalam perlawanan pertama LWN, mereka menewaskan MSN Melaka dengan keputusan 13-1. Rentak kemenangan besar mereka diteruskan pada aksi kedua selepas membelasah Kluang Kickers FC (KKFC) dengan keputusan 11-0.

Negeri Sembilan beraksi dalam LWN Zon Selatan bersama-sama Melaka United, MSN Melaka, KKFC, FMW FC, PDRM, dan DCL.

Semua perlawanan dijadualkan bermula pada 4 hingga 19 Jun bagi pusingan pertama. Manakala pusingan kedua dijangka bermula pada 23 Julai hingga 21 Ogos.

Pasukan yang berjaya menjadi johan dan naib johan setiap zon akan melayakkan diri ke Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR), yang dijadualkan berlangsung secara karnival pada 3 hingga 10 September. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram