KEHANGATAN jendela perpindahan musim kedua masih dirasai dan sehingga kini masih banyak 'rumour' berkaitan pertukaran kelab pemain sama ada melibatkan Liga Super mahupun Liga Premier.
Seperti kelab lain, pasukan Johor Darul Takzim (JDT) turut tidak terlepas daripada terpalit dengan khabar mengenai perpindahan pemain meskipun skuad berkenaan sudah membuat pengumuman akan ketibaan empat bintang baharu mereka.
Pada hujung Mei 2022, Alistair Edwards, Pengarah Teknikal JDT berkata, empat pemain baharu itu terdiri daripada dua pemain tempatan selebihnya akan mengisi kuota import skuad Harimau Selatan.
Namun pada hari terakhir jendela perpindahan ini, muncul pula sebuah gambar seorang pemain misteri yang menyarung jersi JDT dan susulan itu pelbagai nama bintang bola sepak dipetik oleh penyokong untuk dikaitkan dengan visual itu.
Berikut merupakan senarai pemain yang mungkin akan menyarung jersi Harimau Selatan pada jendela perpindahan kedua:
1) Khuzaimi Piee
Nama Khuzaimi juga semakin disebut-sebut selepas aksi cemerlang bersama Harimau Malaya. — Facebook FAM
Status tonggak pertahanan Negeri Sembilan FC (NSFC), Khuzaimi Piee bersama kelabnya masih menjadi tanda tanya ekoran kontraknya bersama skuad Jang Hobin dijangka berakhir penghujung November.
Disebabkan status Khuzaimi yang masih samar-samar bersama skuadnya, ia membuka peluang cerah kepada banyak kelab termasuk JDT untuk mengambil khidmatnya bagi memantapkan lagi benteng pertahanan pasukan masing-masing.
Malah, ada juga penyokong yang mengaitkan bahawa Khuzaimi akan menggantikan pemain pertahanan JDT, Aidil Zafuan yang dilihat semakin kurang menyerlah.
Sekiranya pemain berusia 28 tahun itu menyertai JDT, dia akan berpeluang mengembangkan kerjayanya di persada antarabangsa kerana skuad Harimau Selatan akan terlibat dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL).
2) Harris Harun
Hariss meninggalkan JDT atas urusan keluarga. — Facebook JDT
Pemain kelahiran Singapura, Hariss Harun turut dipetik oleh barisan penyokong Harimau Selatan yang dikatakan bakal menyertai semula pasukan itu selepas meninggalkan skuad berkenaan pada Mei 2021.
Pemain berusia 30 tahun itu mengambil keputusan itu untuk pulang ke negara asalnya, Singapura, atas urusan keluarga disebabkan pandemik Covid-19 dan menamatkan kontraknya secara persetujuan bersama dengan JDT.
Rata-rata penyokong menanti pemain itu untuk kembali menyarung jersi Harimau Selatan kerana pemain berkenaan sering kali cemerlang untuk mempertahankan benteng pertahanan dari bahagian tengah.
Sejak menyertai JDT pada 2014, Hariss melakukan 197 penampilan, dan berhasil menjaringkan 12 gol dan memberi lima bantuan jaringan buat pasukan itu.
3) Junior Eldstal
Kecederaan ‘slip disc’ yang dialami pemain itu pada 2017 dan hampir menamatkan karier Junior. — Agensi
Bintang Harimau Malaya, Junior Eldstal menjadi sebutan bakal menyertai JDT selepas satu ciapan di Twitter oleh Thai League Thailand pada April mengatakan skuad Harimau Selatan menunjukkan minat untuk memanggil kembali pemain yang kini berusia 30 tahun itu.
Perkara itu boleh menjadi betul kerana status Junior bersama kelab Thailand, Chonburi sudah tamat pada Mei lalu dan pastinya khidmatnya diperlukan JDT sebagai mengukuhjan jentera pertahanan.
Pemain tengah itu pernah bermain bersama JDT pada musim 2015 hingga 2018 dan menjadi antara tonggak utama JDT sepanjang tempoh tersebut sebelum kecederaan yang merencatkan karier pemain itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram