Jika benar Junior Eldstal ke skuad Jang Hobin, ini 6 situasi pro-kontra


  • Podium
  • Khamis, 23 Jun 2022

Aksi Junior ketika menyarung jersi Harimau Malaya dalam kelayakan Piala Asia 2023 baru-baru ini. — Facebook/FAM

TONGGAK pertahanan negara, Junior Eldstal menjadi topik bualan penyokong bola sepak pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) apabila pemain itu dikhabarkan bakal menyertai skuad Jang Hobin sejurus sebelum tarikh akhir jendela perpindahan kedua ditutup musim ini pada Jumaat (24 Jun).

Rumours itu bermula apabila laman Twitter pasukan NSFC membuat ciapan bendera Thailand dan Malaysia, sekali gus menyebabkan penyokong menyimpulkan bahawa Junior adalah pemain baharu akan sertai pasukan itu pada baki saingan liga musim 2022.

Jika benar Junior menyertai skuad di bawah kendalian K. Devan itu, ia pastinya menguntum senyuman penyokong Jang Hobin, namun adakah sertai NSFC merupakan keputusan yang terbaik buat pemain berusia 30 tahun itu.

Berikut merupakan enam situasi pro dan kontra jika Junior sah sertai NSFC:

Pro: 1) Pengalaman beraksi di luar negara

junior tahiland

Junior beraksi di Thai League 1 bersama Chonburi.

Selepas dua tahun menyepi daripada dunia bola sepak akibat kecederaan, Junior membuat kemunculan semula bersama salah satu kelab amatur di UK iaitu Metropolitan FC pada 2019 dan pada Februari 2021, Junior kemudiannya beraksi di Thai League 1 bersama Chonburi.

Bersama Chonburi, Junior berjaya mendapatkan semula rentak yang mana beliau sentiasa menjadi pilihan untuk diletakkan dalam kesebelasan utama bagi mengisi posisi pertahanan kelab itu.

Jika pemain itu sertai NSFC, pengalamannya bersama kelab di luar negara sedikit sebanyak membantu kelab berkenaan dan penyokong NSFC sendiri akui Junior akan memberi impak besar kepada skuad itu.

2) Jentera pertahanan semakin kukuh

Pasukan yang sedang meningkat naik, NSFC memerlukan barisan pertahanan yang kukuh untuk membantu daripada pihak lawan menembusi kubu mereka dan sekali gus boleh mengukuhkan kedudukan mereka pada saingan Liga Super.

Kehadian Junior dalam NSFC juga memberi banyak pilihan kepada K. Devan untuk memilih terutamanya untuk pemain di posisi pertahanan kerana posisi itu hanya diisi oleh dua tonggak profilik yakni Herold Goulan dan Khuzaimi Piee.

Jika Junior sah sertai NSFC, pemain itu boleh bergilir dengan dua pemain pertahanan itu sekiranya salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan sehingga terpaksa direhatkan daripada bermain.

3) Boleh menjadi 'tanker' buat NSFC

Saiz badan Junior yang besar sememangnya alasan kukuh buat pemain itu menjadi tanker buat NSFC dan perkara itu juga diakui ketika pemain itu menyarung jersi Harimau Malaya pada kelayakan Piala Asia.

Dengan ketinggian 191 cm, Junior akan menjadi pemain yang akan diberi perhatian oleh pihak lawan dan sekali gus mampu mengawal benteng pertahanan NSFC pada baki saingan liga musim 2022.

Di Malaysia, tidak banyak pemain yang memiliki ketinggian dan badan seperti Junior dan ia akan menjadi satu kelebihan buat NSFC jika berjaya memikat hati pemain itu sertai pasukan skuad Jang Hobin.

Kontra: 4) Terlepas peluang beraksi bersama JDT.

juior

Junior sewaktu beraksi bersama JDT.

Sebelum dikatakan bakal menyertai NSFC, Junior dikaitkan akan kembali menyarung jersi kelab asalnya iaitu skuad Johor Darul Takzim (JDT) selepas tersebarnya perkongsian dari salah sebuah laman media sosial di Thailand.

Junior sebelum ini pernah beraksi bersama JDT dari tahun 2015 hingga 2018 yang mana pemain itu berjaya membantu skuad Harimau Selatan memenangi beberapa kejuaraan domestik dan antarabangsa seperti Liga Super (2015,2016,2017), Piala Sumbangsih (2015,2016,2018), Piala FA (2016), Piala Malaysia (2017) serta Piala AFC pada 2015.

Bukan apa, jika Junior sertai NSFC, mungkin ia satu kerugian buat Junior dari segi pengalaman kerana terlepas peluang beraksi bersama JDT di peringkat antarabangsa terutamanya untuk Piala Liga Juara-juara Asia (ACL).

5) Mempunyai sejarah kecederaan jangka panjang

Junior mempunyai sejarah kecederaan jangka panjang kerana sebelum ini dia mengalami kecederaan teruk ketika bersama pasukan JDT sehingga mengambil keputusan untuk keluar dan ‘bersara’ sementara daripada aktiviti bola sepak profesional.

Kecederaan ‘slip disc’ yang dialami pemain itu pada 2017 bagaimanapun hampir menamatkan karier Junior yang memaksa beliau kembali ke England untuk memberi peluang dirinya pulih daripada kecederaan.

Kemungkinan untuk alami kecederaan akan berlaku lagi dan perkara itu merupakan risiko yang perlu dihadapi oleh skuad Jang Hobin sekiranya pemain itu sah menyertai NSFC pada jendela perpindahan kedua kali ini.

6) Minit permainan terhad

Minit permainan akan menjadi isu buat Junior jika beliau sertai NSFC kerana dia terpaksa bersaing bersama dua tonggak pertahanan iaitu Goulan dan Khuzaimi.

Dua bintang itu pasti menjadi pilihan utama pengendali NSFC, K. Devan kerana beliau cukup tahu gaya permainan dan kekuatan mereka namun Junior masih memerlukan masa membentuk keserasian bersama barisan pemain lain.

Oleh itu, untuk mengisi slot kesebelasan utama, Junior perlu tunjukkan lebih skil dan kekuatan agar terpilih menjadi pilihan K. Devan sekali gus boleh mendapatkan lebih banyak minit permainan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram