NSFC, JDT kongsi satu misi yang sama


  • Podium
  • Rabu, 11 Mei 2022

Sebahagian pemain NSFC menjalani sesi latihan sebelum bertemu JDT malam ini.

PERLAWANAN yang ditunggu-tunggu oleh penyokong Negeri Sembilan FC (NSFC) akhirnya tiba kerana malam ini (Rabu) skuad kesayangan mereka itu menerima kunjungan Harimau Selatan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan.

Penjaga gol skuad Jang Hobin, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed waspada ancaman bahaya Johor Darul Takzim (JDT) apabila masing-masing dalam misi untuk mengekalkan rekod bersih tanpa kalah dalam perlawanan kelapan Liga Super.

Pertembungan kedua pasukan itu dijangka sengit apabila kedua-dua pasukan berkenaan masih belum tewas menyaksikan anak buah K. Devan kini di tangga teratas liga selepas enam perlawanan manakala JDT di tangga kedua selepas empat perlawanan.

eeper

Syihan Azmi mendapat pujian penyokong kerana berjaya mengawal gawang NSFC dengan baik.

Syihan Hazmi yang semakin menunjukkan peningkatan dalam setiap aksi setakat ini mengakui tugas yang cukup berat untuk mengawal gawang bagi memastikan pasukan tidak bolos apatah lagi serangan JDT yang sentiasa memberi tekanan kepada lawan.

“Kita sedar JDT merupakan pasukan yang kuat dan ia akan menjadi perlawanan yang sengit pada malam esok (Rabu) sebab dua-dua sedang konsisten tanpa tewas.

“Tetapi dalam bola sepak, kita susah nak jangka sebab apa-apa sahaja boleh berlaku dan selagi perlawanan masih belum bermula, susah kita nak cakap siapa yang mungkin menang atau sebaliknya.

“Yang penting, kita akan cuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik sambil berharap kemenangan berpihak kepada Negeri Sembilan,” katanya.

Syihan yang hanya bolos enam gol dalam enam perlawanan setakat ini tidak menolak kariernya kini di landasan yang tepat apabila menampilkan aksi tidak mengecewakan selepas diberi kepercayaan beraksi penuh dalam semua perlawanan.

Bekas pemain Petaling Jaya City FC itu menganggap perlawanan pada awal musim ini baru permulaan sambil menyifatkan aksi-aksi akan datang pasti lebih sukar dan perlu menggandakan usaha untuk membantu pasukan.

“Alhamdulillah dengan pencapaian sekarang dan ini semua hasil sokongan daripada rakan-rakan sepasukan juga.

“Setiap pemain tidak berputus asa dalam setiap perlawanan dan mereka juga sentiasa memberi semangat antara satu sama lain.

“Memang saya tidak nafikan banyak peningkatan dalam diri sejak bersama pasukan ini dan insyaAllah saya akan terus berusaha untuk beraksi lebih cemerlang," tambahnya.

Untuk rekod, NSFC kini mendahului carta Liga Super dengan 14 mata selepas enam perlawanan, dua mata di depan JDT yang masih kurang dua perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram