NSFC miliki ancaman baharu robek kubu lawan


  • Podium
  • Jumaat, 17 Jun 2022

Gustavo berjaya membantu UiTM menghasilkan 17 jaringan gol dalam saingan Liga Super. — Facebook

JENDELA perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) menyaksikan banyak kelab rancak berbelanja untuk memperkemaskan skuad masing-masing bagi mengharungi saki-baki saingan liga.

Negeri Sembilan FC (NSFC) antara pasukan yang menyerlah ketika ini apabila kelab tersebut sudah pun mendatangani dua pemain import baharu bagi terus mencabar persaingan Liga Super musim ini.

Walaupun pasukan Hobin Jang Hobin menduduki tangga ketiga, mereka mengalami masalah di jentera serangan yang mana mereka hanya berjaya menjaringkan 11 gol sahaja dalam lapan perlawanan di Liga Super.

Pada Jumaat (10 Jun), pasukan NSFC mengumumkan ketibaan pemain kelahiran Brazil yang pernah mewarnai kancah liga bola sepak Malaysia bersama pasukan UiTM FC pada 2020 sebelum membuat keputusan untuk berhijrah ke Jepun.

Gustavo Almeida 3

Gustavo pernah mewakili pasukan UITM FC pada musim 2020. — Facebook

Pemain tersebut ialah Gustavo Almeida berusia 26 tahun dan bakal berpasangan bersama Mathieus Alves yang berasal dari Brazil yang mana bermain posisi serangan pasukan NSFC.

Sebelum ini, Gustavo pernah mencipta sensasi dalam saingan Liga M bersama UiTM FC apabila penyerang berketinggian 1.85 meter itu mempamerkan aksi cemerlang bersama kelab tersebut.

Gustavo menjadi salah satu tonggak utama buat pasukan The Lion Troops dalam menghasilkan jaringan pada musim 2020.

Menurut laman sesawang transfermarket, kelab terakhir diwakili Gustavo sebelum kembali ke Malaysia ialah Náutico FC Caracaraí yang beraksi dalam saingan divisyen keempat di Brazil.

Kehadiran Gustavo juga bertujuan untuk menggantikan khidmat bekas penyerang Negeri Sembilan iaitu Adetu Kossi apabila pemain kelahiran Togo itu gagal memberi impak terbaik bersama pasukan di posisi serangan.

Gustavo Main

Gandingan Gustavo bersama Ataya memberikan ancaman buat pasukan lawan ketika beraksi di UITM FC. — Facebook

Sebagai rekod semasa mewakili pasukan UITM, Gustavo berjaya membentuk gandingan berbisa bersama pemain kelahiran Lubnan, Rabih Mohammad Ataya sehingga berjaya membantu pasukan The Lion Troops itu menduduki tangga keenam.

Pengendali NSFC, K. Devan mungkin sudah ada perancangan untuk membentuk gandingan berbisa Gustavo bersama Mathieus seperti mana yang pernah dilakukan penyerang kelahiran Brazil di UiTM bersama Ataya.

Ketika bersama UiTM di bawah kendalian Frank Bernhardt, gandingan itu berjaya membantu UiTM menghasilkan 17 jaringan gol dalam saingan Liga Super sehingga memberi ancaman buat pasukan lawan.

Untuk rekod pertemuan antara NSFC dan JDT dalam saingan Liga Super musim ini merupakan perlawanan yang sengit apabila JDT dilihat begitu sukar membolosi pertahanan ampuh The Jangs walaupun diasak daripada pelbagai sudut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram