KEHILANGAN pengendali Johor Darul Takzim (JDT), Benjamin Mora dalam dua perlawanan sebelum ini terus menjadi tanda tanya dalam kalangan penyokong pasukan tersebut.
Untuk rekod, Mora tidak dilihat berada di samping pasukannya ketika perlawanan menentang Penang FC dan Melaka United sebelum ini.
Malah, ketiadaan pengendali berusia 43 tahun itu menyaksikan tugasnya ketika ini digalas oleh Jorge Alvarez dan dibantu penolong jurulatih, Mohd Hamzani Omar.
Benjamin Mora (baju hitam) bersama pemain pasukan JDT. — Facebook/Johor Southern Tigers
Terbaharu, pemerhati sukan, Zulhelmi Zainal Azam mendakwa terdapat jurulatih sebuah pasukan Liga Malaysia yang bakal disingkirkan.
"Sebuah pasukan Liga Malaysia dikhabarkan dalam proses menamatkan kontrak seorang jurulatih disebabkan beberapa masalah tertentu.
"Namun situasi mungkin boleh berubah jika tiada pengganti sesuai dalam masa terdekat," katanya.
Ternyata, dakwaan tersebut membuatkan penyokong bola sepak tempatan mengaitkannya dengan ketiadaan Mora sebelum ini.
Namun, ada yang mengatakan bahawa Mora kini berada di Jepun untuk meneliti corak permainan Urawa Reds menjelang pertemuan JDT dengan pasukan itu pada 19 Ogos depan.
Benjamin Mora pernah dikritik ketika mula-mula bersama JDT. — Facebook/Johor Southern Tigers
Mengintai ke ruangan komen di media sosial, penyokong JDT di media sosial rata-ratanya berharap supaya Mora dapat dikekalkan bersama pasukan tersebut.
"Saya masih ingat lagi dulu ramai penyokong kritik Mora. Namun dia mengambil semua kritikan dengan positif, berusaha bersungguh-sungguh dan berjaya menawan hati penyokong JDT sekarang," kata Joe Fizoe Hussien.
Seorang lagi penyokong, Tarmizi Solusi juga meminta supaya Mora dikekalkan kerana mempunyai taktikal yang cukup baik untuk JDT.
Sehingga kini, belum ada sebarang kenyataan rasmi dari JDT berkaitan dengan khabar angin tersebut sama ada benar atau tidak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram