PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak menolak kemungkinan mewujudkan gabungan politik baharu bersama pihak yang diyakini bersih daripada sebarang salah laku.
Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini kerana parti itu tidak boleh menerima gabungan politik sedia ada, sama ada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, sehubungan itu, Pejuang bersedia menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menghadapi saingan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Sekarang ada tiga gabungan BN, PN dan PH, namun Pejuang tidak boleh sertai mereka.
"BN sebab ramai penyangak, PH pula orang Melayu tak suka DAP dan kalau kita bersama mereka, kita akan hilang sokongan orang Melayu," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan bersama pengusaha bot pelancong di Jeti Tanjung Rhu di Langkawi, Kedah pada Isnin.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, kedudukan PN pula tidak kukuh dan tidak mampu berdiri sendiri.
"PN perlu bersama PAS dan BN sebab tak cukup orang. Mereka bercakap sajalah.
"Asal Bersatu berpecah dua, sebahagian ikut saya, yang lain ikut Tan Sri Muhyiddin Yassin, pasal dapat jadi menteri gaji besar. Itulah sebabnya bukan minat nak berkhidmat untuk negara," katanya lagi.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, seeloknya Pejuang tidak menyertai kesemua gabungan terbabit, sebaliknya bekerjasama dengan pihak lain, termasuk NGO yang tidak terlibat dalam politik serta parti-parti lain yang tidak terlibat rasuah.
"Kita boleh bagi tempat kepada mereka untuk bertanding. Dengan itu, kita akan dapat sehingga 120 calon," ujarnya.
Dr Mahathir turut membidas dakwaan ramai pihak yang beranggapan Pejuang tidak mungkin menjadi kerajaan.
"Ramai anggap Pejuang ini hanya parti kecil tetapi penyokong kita ramai.
"Bila sampai masanya kita akan bertanding bersama dengan rakan-rakan kita," ujarnya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram