KEJAYAAN Penang FC menundukkan Sri Pahang FC 5-2 dalam pusingan suku akhir Piala FA 2022 sekaligus melayakkan diri ke separuh akhir kejuaraan itu.
Lebih mengejutkan pada perlawanan itu, kemunculan kapten Harimau Kumbang, Endrick dos Santos membuatkan ramai penyokong mempersoalkan cuti rehatnya.
Sebelum ini dikatakan, Endrick diminta untuk mengambil cuti rehat sehingga 31 Julai tetapi pemain tengah menyerang itu akhirnya membuat penampilan semula selepas berehat satu aksi.
Timbul pelbagai spekulasi saat Endrick hanya diketepikan untuk aksi Liga Super berdepan Johor Darul Takzim (JDT) dan ada juga yang menyatakan prestasi hambarnya mendorong kepada cuti rehat itu.
Mengulas isu Endrick yang beraksi lebih awal dari tempoh rehatnya, pengendali Penang FC, Zainal Abidin Hassan berkata, pemain berusia 27 tahun itu memang sentiasa berada dalam perancangan perlawanannya.
Malah, bagi Zainal Abidin meskipun Endrick menerima pelbagai kecaman dalam kalangan penyokong Haria Penang Haria, dia membuktikan dengan memberi impak pada perlawanan suku akhir itu.
"Endrick memang bagi impak masa perlawanan itu. Saya memang tidak dapat nafikan kehebatan Endrick. Kalau tak hebat, saya tak turunkan.
"Kesemua pemain diturunkan berdasarkan game plan. Endrick sentiasa ada dalam game plan saya. Sesiapa saja pemain termasuk Endrick, jika mereka out of form akan digantikan," katanya kepada Majoriti.
Antara aksi pemain Penang FC sewaktu menentang Sri Pahang FC pada suku akhir Piala FA. — Facebook Penang FC
Tambah Zainal, pemain kelahiran Brazil itu juga berada dalam perancangan perlawanan berdepan Harimau Kumbang bagi menghadapi Melaka United pada aksi Liga Super Selasa ini.
"Endrick memang tetap dalam game plan saya. Itu saya boleh cakap. Samada akan diturunkan semasa lawan Melaka tak pasti lagi tetapi kita ada game plan kita. Mungkin dia main kesebelasan utama atau main minit saat akhir," jelasnya.
Setakat ini, bekas pemain kebangsaan itu masih tidak memutuskan barisan kesebelasan utama yang bakal diturunkan kerana beliau masih meneliti segala aspek.
Dalam pada itu, Zainal Abidin juga mengingatkan agar kesemua pemainnya dapat mengekalkan momentum dan elakkan daripada melakukan kesalahan sama sewaktu menentang skuad Tok Gajah.
"Satu perlawanan yang sengit. Sebab kita tahu kekuatan pasukan Melaka. Saya harap pemain-pemain jangan ulang kesilapan macam lawan Pahang iaitu bagi peluang terlalu awal kepada pihak lawan untuk mendahului. Penting membetulkan kesilapan dan tunjukkan fighting sprit.
"Buat masa ini dah ada gambaran yang akan diturunkan untuk perlawanan esok. Tapi masih belum diputuskan lagi. Tapi pemain yang bersedia dengan game plan akan diturunkan esok. Keseluruhan kesebelasan utama dah dipastikan tapi tak 100 peratus lagi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram