PEMAIN tengah Sabah, Park Tae-su lebih terkenal dengan sifat agresifnya di bahagian tengah padang, namun import dari Korea Selatan itu semakin garang di bek serangan selepas meledak satu demi satu gol.
Terbaharu, Terengganu FC menjadi 'mangsa' Tae-su selepas dia menjaringkan gol menerusi dua tandukan sekali gus membantu The Rhinos menumpaskan skuad Sang Penyu dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, baru-baru ini.
Pemain yang lebih dikenali sebagai ‘Karim’ dalam kalangan peminat itu sudah beraksi dengan Sabah sejak musim 2019 lagi.
Pada musim ini, Tae-su merupakan penjaring terbanyak Sabah setakat ini yang mana dia sudah meledak enam gol dalam Liga Super sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan gol yang dicipta sejak menyertai Sabah sebanyak 11.
Melihat kepada pencapaian jaringan Tae-su, pemerhati sukan, Don K-Rul Izham merasakan pemain bertubuh tegap itu mempunyai dua teknik yang agak baik menjadikan rekod catatan gol beliau begitu unik.
Tae-su (kanan) telah menjaringkan dua gol untuk Sabah menerusi sepakan percuma. — Facebook
1. Kemampuan menjaringkan gol menerusi tandukan
Tae-su menjaringkan gol menerusi tandukan sebanyak tiga kali musim ini. Untuk rekod, daripada 11 gol yang dijaringkan bersama Sabah, sebanyak empat gol dihasilkan menerusi tandukan.
Satu gol ketika menentang Felda United, satu lagi semasa berdepan Negeri Sembilan dan dua gol ketika aksi pertembungan dengan Terengganu FC.
2. Kemampuan menjaringkan gol menerusi sepakan percuma
Jarang sekali pemain di posisi defensive midfield melakukan sepakan percuma ke arah gol (direct freekick). Jika indirect freekick itu biasa.
Bagaimanapun Tae-su, telah menjaringkan dua gol untuk Sabah menerusi sepakan percuma (direct) semasa bertemu PJ City FC dan Kedah Darul Aman FC.
Menjaringkan gol menerusi sepakan percuma bukan nasib semata-mata, seseorang harus mempunyai teknik dan latihan tambahan dalam sesi latihan.
Tae-su (kanan) bukan pemain tengah bertahan yang akan berada dalam kawasan sendiri sahaja, bahkan sangat rajin menyertai barisan serangan. — Facebook
Tambah Don K-Rul Izham, walaupun pemain berusia 32 tahun itu adalah utama di posisi defensive midfield, kemampuannya membantu serangan sangat baik.
Katanya, Tae-su bukan pemain tengah bertahan yang akan berada dalam kawasan sendiri sahaja, bahkan sangat rajin menyertai barisan serangan.
"Tae-su mempunyai rekod lima gol dalam area final third, ia juga menunjukkan heat map Tae-su tidak statik dalam box dia sahaja. Jika anda pernah mendengar istilah extra frontman, Tae-su ada pakej itu. Dia akan sertai gerakan serangan dan memberi lebih pilihan untuk pasukan dalam mencari gol," katanya.
Menurut Don K-Rul Izham, dari segi pencapaian, Tae-Su hampir menyamai kualiti yang ada pada import Perancis, Herold Goulon yang bermain dengan Negeri Sembilan FC ketika ini.
"Goulan lebih baik sikit. Pemain pertahanan itu mempunyai 20 gol sejak 2019," katanya.
Bahkan dia merasakan Tae-su turut mengingatkannya kepada dua legenda import Kedah iaitu Bang Seung-hwan dan Namkung Woong yang masing-masing pernah mewakili Kedah pada 2014 dan 2016.
"Mereka ialah dua pemain kelahiran Korea yang menyerlah dalam Liga Malaysia," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram