Kecoh 'scout' JDT di Alor Setar, penyokong kecewa ubi muda Kedah kerap disambar kelab luar


  • Podium
  • Isnin, 25 Jul 2022

Pemantau bakat dari JDT yang kelihatan di sebuah kejohanan yang berlangsung di Alor Setar baru-baru ini. — FB Khairil Ajhar

KELIBAT pemantau bakat dari Johor Darul Takzim (JDT) yang kelihatan di sebuah kejohanan yang berlangsung di Alor Setar, Kedah, menarik perhatian seorang jurugambar sebelum foto yang dirakam itu dikongsi secara meluas oleh penyokong bola sepak tempatan.

Gambar itu dirakam jurugambar Arena HijauKuning, Khairil Ajhar Jaafar ketika membuat liputan di Yakult Global Challenger (YGC) Cup 2022 – Zon Utara.

Menerusi satu perkongsian Facebook, Khairil Ajhar berkata, berdasarkan pemerhatiannya, pemantau bakat JDT itu mungkin merupakan satu-satunya pemantau bakat yang hadir di kejohanan tersebut.

"Paling mencuri tumpuan adalah kehadiran scout dari JDT yg memerhatikan ubi yang baik untuk program mereka.

"Kedah dah FC juga, tapi saya belum nampak scout Kedah di mana-mana...mungkin saya tak kenal, lainlah.

"Mungkin akan ada lagi pemain dari Kedah bakal diterbangkan ke Iskandar Puteri selepas Chia Rou Han nanti?" tulisnya.

Chia Rou Han ialah seorang pemain muda sedang meningkat naik yang disoal pengulas Astro Arena, Hafizal Hamad kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dalam satu temubual sebelum ini.

Bekas pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kulim itu kini sedang beraksi bersama JDT II di Liga Premier dan telah disenaraikan oleh pengendali JDT, Benjamin Mora ke saingan berprestij, AFC Champions League (ACL).

Selain pemain itu, mereka juga memiliki seorang lagi bintang muda dari Sarawak iaitu Gabriel Nistelrooy.

Menurut Khairil Ajhar, kejohanan tersebut dihadiri ramai bakat-bakat muda dari seluruh negeri di utara tanah air seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan kawasan sekitarnya.

"Semoga ubi-ubi ini disemai dan dijaga rapi dan tidak disia-siakan bakat mereka. Jangan nampak time menang saja, time lain lupa.

"Tahniah kepada pemain, jurulatih dan ibu bapa yang tidak putus-putus berjuang dan mendidik anak-anak ini untuk menjadi insan berguna untuk negeri dan negara nanti," katanya.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Chumat Mrar merasakan Kedah banyak melahirkan bakat-bakat muda, namun mereka akhirnya direkrut oleh kelab luar.

"Kita tabur benih ja....pastu orang lain mai (datang) potong," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram