'Bagi dia masa, tapi selesaikan dulu misi utama'


  • Podium
  • Selasa, 26 Jul 2022

Zainal mahu Hassan diberikan masa sebelum dinaikkan pangkat. — Agensi

KHABAR mengenai kemungkinan jurulatih kebangsaan bawah 19 (B-19), Hassan Sazali Waras untuk 'dinaikkan pangkat' menjadi jurulatih skuad Harimau Muda bukanlah satu rahsia.

Ini ekoran pendedahan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar yang bersifat terbuka berkenaan dengan kemungkinan tersebut.

Hassan dikatakan antara insan paling layak untuk mengantikan posisi yang masih lagi belum terisi sejak khidmat bekas ketua jurulatih B-23, Brad Maloney ditamatkan oleh FAM.

Bagaimanapun, pemerhati sukan, Zainal Abidin Rawop berpendapat Hassan perlu diberikan masa untuk menyelesaikan dahulu misi utamanya bersama skuad B-19.

"Kalau betul-betul mahukan khidmat Hassan Sazali Waras, berdasarkan kejayaan beliau membawa skuad B-19 menjadi juara, secara jujurnya, Hassan perlu diberi peluang.

"Tapi, dalam masa yang sama, pihak FAM perlu mengambil kira berkenaan perkara terbesar yang perlu dipikul Hassan dan berapa ramai yang perlu di bawa dalam pasukan ini.

"Sekiranya dia lebih sesuai dan serasi dengan skuad B-19, saya cadangkan dia kekal dengan skuad kendaliannya sehingga selesai misinya di Piala Asia nanti.

Pemain skuad negara bersama pegawai pasukan dan pemimpin FAM meraikan kejayaan memenangi Kejuaraan B-19 AFF di Jakarta. — Facebook/FAMalaysiaOfficial

"Kalau dia terus 'dinaikkan pangkat', semuanya akan jadi cacamarba. Baru sahaja serasi dengan B-19, tiba-tiba dinaikkan 'pangkat'. Kedua-dua skuad ini perlu bermula dari bawah pula nanti," katanya ketika ditemubual menerusi Radio Zayyan.

Pada 21 Julai lalu, Hassan berjaya membantu Malaysia menjulang trofi Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) buat kali kedua selepas menundukkan Laos 2-0 di Stadium Patriot Chandrabhaga, Indonesia.

Sebelum itu, pada 13 Julai, khidmat Brad Maloney sebagai jawatan ketua jurulatih skuad B-23 negara ditamatkan susulan prestasi skuad tersebut kurang memuaskan pada temasya Sukan Sea ke-31 di Hanoi, Vietnam, Mei lalu, selain tewas semua perlawanan di kejohanan Piala Asia B-23, baru-baru ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram