Harga maksimum minyak masak dalam botol akan diwartakan — Annuar


  • Primer
  • Selasa, 26 Jul 2022

Langkah pewartaan harga minyak masak botol dibuat supaya barangan itu akan mempunyai harga maksimum dari semasa ke semasa.

HARGA maksimum minyak masak tulen dalam botol akan digazetkan dalam masa terdekat mengikut harga semasa minyak sawit dunia bertujuan memastikan produk itu mempunyai harga maksimum dari semasa ke semasa.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan juga akan mengambil langkah menghentikan pengeksportan minyak masak dalam bentuk polibeg berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) boleh mengambil langkah-langkah pewartaan, supaya minyak masak akan mempunyai harga maksimum dari semasa ke semasa.

"Penentuan harga maksimum ini dijangka akan dilaksanakan dalam tempoh seminggu," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kali keenam Pasukan Jihad Tangani Inflasi di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada Isnin.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, KPDNHEP akan menetapkan harga tersebut berdasarkan pelarasan bagi mengekalkan margin keuntungan tertentu dan memastikan tidak berlaku pengambilan untung berlebihan.

“Peniaga boleh menjual pada harga lebih murah tetapi tidak melebihi harga maksimum yang diwartakan oleh kementerian.

"Mereka tidak lagi bebas untuk menetapkan harga berdasarkan kehendak mereka," katanya.

Mengenai larangan eksport minyak masak polibeg, Annuar berkata, pihak berkuasa mendapati bahan itu dieksport ke negara jiran dan ada pihak tertentu mendakwa mereka dibenarkan mengeksport barangan tersebut.

“Minyak masak yang dijual di luar negara dalam polibeg bukan minyak bersubsidi.

“Jawatankuasa ini telah membuat susulan dengan agensi berkaitan untuk menghentikan eksport minyak masak kerana ia menimbulkan kekeliruan.

"Kami telah mengumumkan sebelum ini bahawa minyak bersubsidi hanya dalam pembungkusan polibeg dan penguat kuasa mesti menguatkuasakan larangan eksport terhadap pembungkusan sedemikian," katanya.

Annuar berkata, masalah timbul apabila ada pihak mengeksport minyak masak dalam bentuk yang sama (polibeg).

Menurutnya, KPDNHEP akan membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut dengan pihak berkepentingan berkaitan terutama mereka yang bertanggungjawab ke atas lesen eksport. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram