'Penang FC bangkit dari terlena,' Zainal dalam landasan ulangi sejarah 20 tahun


  • Podium
  • Isnin, 25 Jul 2022

Antara aksi perlawanan Penang FC menentang Sri Pahang FC pada suku akhir Piala FA baru-baru ini. — Facebook/ Penang FC

KEMENANGAN 5-2 Penang FC menentang Sri Pahang FC pada aksi suku akhir Piala FA semestinya mendapat respons positif daripada penyokong Haria Penang Haria.

Masakan tidak, kemenangan dalam perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang itu sekali gus melayakkan Penang FC layak ke separuh akhir.

Antara yang tampil memberi respons termasuk Don K-Rul IZham, yang mana dia berasa teruja apabila kemenangan itu menyaksikan Penang FC kali pertama menjejakkan diri ke separuh akhir, selepas penantian selama 20 tahun.

Pemerhati sukan itu berkata, kali terakhir Penang FC layak ke separuh akhir adalah pada tahun 2002, ketika pasukan itu menewaskan Negeri Sembilan pada suku akhir Piala FA.

"Musim ini Penang bukan seperti Penang musim lalu, yang mana mereka berdepan masalah prestasi dalam Liga Super.

"Bayangkan pasukan tangga ketiga musim lalu hanya mampu menjaringkan 12 gol. Mereka hanya mencatatkan satu kemenangan dan bolos 12 gol dari 11 perlawanan.

"Tapi dalam kejohanan seperti Piala FA atau Piala Malaysia ini, kita tahu auranya lain.Menang selepas ketinggalan 2-0 sesuatu yang sangat positif telah dipamerkan Penang, " katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

294322937_470549761564496_6714697252383724352_n

Penang menang 5-2 ketika menentang Pahang pada Sabtu. — Facebook/ Penang FC

Pada masa sama, Don K-Rul IZham berkata, Penang FC akan menentang Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan seterusnya.

Namun, katanya, sama ada sesuatu pasukan itu menjadi kegemaran ramai bukanlah sesuatu perkara terpenting untuk dititikberatkan.

"Lihat sahaja semangat Penang malam ni (Sabtu). Melaka United pun tiba-tiba beraksi luar biasa, hampir menyukarkan JDT.

"Tahun 2002, Penang muncul juara. Mereka menewaskan Kedah di peringkat separuh akhir dan menewaskan Perak untuk muncul juara," katanya.

295312461_470550051564467_2735982880346772470_n

Penang menanti selama 20 tahun untuk ke separuh akhir Piala FA. — Facebook/ Penang FC

Terdahulu, pengendali Penang FC, Zainal Abidin Hassan memuji kebangkitan anak buahnya dalam kemenangan ke atas Sri Pahang FC.

Namun, beliau mengakui, laluan sukar bakal dihadapi skuad itu apabila berdepan JDT pada aksi separuh akhir Piala FA.

Selain itu, bekas pemain kebangsaan itu berkata, pencapaian di separuh akhir piala berprestij itu membuktikan Penang FC berada di kedudukan terbaik.

"Pada masa sama, Penang berada di kedudukan terbawah Liga Super dan pencapaian ini begitu bermakna. Pemain memberikan segalanya buat pasukan dan sudah membuktikan dalam saingan Liga Super apabila tewas tipis 1-0 kepada JDT pada 20 Julai lalu.

"Oleh itu kami akan memperbaiki segala kelemahan dan membawa semangat lebih tinggi apabila bermain pada separuh akhir nanti," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram