Tok Gajah di ambang kehancuran, bertubi-tubi peminat salahkan pengurusan


  • Podium
  • Ahad, 24 Jul 2022

Skuad Sri Pahang FC ditewaskan pada saat-saat perlawanan masa tambahan menentang Penang FC — Facebook

SKUAD Sri Pahang FC dimalukan di hadapan penyokong sendiri selepas tewas 2-5 kepada skuad Harimau Kumbang pada aksi suku akhir di Stadium Darul Makmur, pada Sabtu.

Lebih mengecewakan lagi, skuad itu ditewaskan pada saat-saat akhir perlawanan walaupun sudah mendahului dengan dua gol pada separuh masa pertama sebelum dipintas skuad Penang FC.

Rata-rata penyokong Tok Gajah merasakan kekalahan pasukan itu antara lain berpunca daripada pengurusan Sri Pahang FC yang dirasakan gagal merencanakan satu perancangan kukuh dan tidak memiliki visi serta misi yang jelas.

Seorang penyokong Sri Pahang FC, Sky Foo Siang Chai merasakan Sri Pahang FC mula merudum sejak dua musim lalu.

"Dengan Pulau Pinang pun kalah. Terbukti Christophe Gamel (ketua jurulatih Pahang) bukan faktor utamanya.

"Kelemahan mendadak Sri Pahang sejak dua musim ini. Pengurusan harus bertanggungjawab sepenuhnya khususnya pengurus, Dollah Salleh dan ketua jurulatih," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook Penyokong Sri Pahang FC.

Seorang lagi peminat Tok Gajah turut menyalahkan pengurusan Sri Pahang FC.

"Buang terus pengurusan Pahang, sampai bila nak tengok pasukan macam ini dan pihak pengurusan tidak akan bertanggungjawab.

"Sampai bila nak salahkan pemain? Siapa yang beli pemain yang tidak berkualiti dan buang player yang okey?

"Daripada beli pemain import atau tempatan yang 'hampeh', baik sambung kontrak pemain yang berkualiti.

"Boikot terus bagi sokongan kepada Pahang selagi pengurusan tidak dibubarkan," kata Utama Zul Jengking.

"Tukar pemilik dan tukar pengurusan. Semua ini perlu ditukar dulu untuk masa depan bola Pahang.

"Selagi tidak ditukar, memang Sri Pahang FC akan hancur," persoal Muhammad Iqbal.

Berdasarkan laporan, skuad Sri Pahang pasukan paling agresif membawa masuk pemain import baharu yang memiliki nilai pasaran mencecah jutaan ringgit seperti Steven Rodriguez (RM1.8 juta), Sherzod Fayziev (RM1.3 juta) dan Kevin Ingreso (RM1.1 juta).

Menjadi persoalan sama ada terdapat kesilapan pada percaturan jurulatih atau ada perkara lain yang menjadi punca Tok Gajah gagal bangkit dari prestasi buruk musim lalu.

Selain tersingkir dalam aksi suku akhir Piala FA, Sri Pahang juga terjerumus ke dalam zon penyingkiran Liga Super musim ini.

Selepas mengharungi 11 perlawanan, Sri Pahang terperosok di kedudukan kedua tercorot Liga Super dengan hanya mengutip lapan mata.

Dengan prestasi hambar yang dipersembahkan itu, pengurusan Tok Gajah perlu melakukan sesuatu yang drastik bagi memulihkan prestasi kelab yang pernah dianggap gergasi dalam Liga Malaysia (Liga M). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram