Mengaum di saat akhir, Harimau Kumbang melangkah ke separuh akhir selepas 20 tahun


  • Podium
  • Ahad, 24 Jul 2022

Penyerang import Penang FC, Hilal El-Helwe (tengah) dianggap sebagai penyelamat setelah berjaya menjaringkan dua gol menentang pasukan tuan rumah — Facebook

PASUKAN Penang FC adalah pasukan kedua yang menempah tiket ke perlawanan separuh akhir Piala FA selepas mengalahkan pasukan Sri Pahang FC dengan jaringan kemenangan 5 - 2.

Strategi dan taktik yang digunakan jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan ternyata membuahkan hasil sekali gus memberikan kemenangan kepada skuad Harimau Kumbang.

Kesilapan pasukan Sri Pahang FC yang dilihat 'selesa' berada dalam kedudukan yang mendahului lawan akhirnya membawa padah apabila benteng pertahanan pasukan itu dibolosi pada minit-minit terakhir permainan sekali gus menyaksikan dua pasukan itu terpaksa diheret bermain pada masa tambahan.

Pada perlawanan itu, skuad Tok Gajah bermula baik dan tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-11 menerusi penyerang import, Steven Rodriguez yang menanduk tepat hantaran ke gawang lawan.

Pada minit ke-19, Azwan Aripin menjaringkan gol kedua menerusi rembatan kencang yang menewaskan penjaga gol lawan, Hafizul Hakim buat kali kedua.

Insiden Sri Pahang FC yang terpaksa bermain dengan sembilan pemain dilihat turut memberi kelebihan pada skuad Harimau Kumbang itu.

Pemain Sri Pahang FC, Ashar Al Aafiz Abdullah dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, S Logeswaran selepas mengasari Muhammad Adib Abdul Ra'op.

Manakala, pemain sayap kanan skuad Tok Gajah, Manuel Hidalgo turut menerima nasib yang sama pada minit ke-104 setelah mengasari pasukan lawan.

Siapa sangka, walaupun dilihat hampir kalah pada saat-saat akhir, namun tandukan dari penyerang import Penang FC, Hilal El-Helwe menyamakan kedudukan pada minit ke-85 membuktikan skuad Harimau Kumbang itu bangkit pada saat-saat akhir.

Hilal juga boleh dianggap sebagai hero pada perlawanan menentang Sri Pahang FC setelah mencipta gol kedua pada minit ke-98 masa tambahan.

Jaringan kedua Hilal itu dianggap mudah apabila penjaga gol Sri Pahang FC, Mamadou Samassa melakukan kesilapan.

Penang FC terus berpesta gol pada saat-saat akhir perlawanan dengan menghasilkan gol kelima hasil jaringan pemain gantian K.Thivandaran pada minit yang ke-118 sekali gus membenamkan Sri Pahang FC di gelanggang sendiri.

Hilal wajar diberikan pujian dan dianggap sebagai penyelamat setelah berjaya menjaringkan dua gol sekali gus mengukuhkan kedudukan Penang untuk mara ke separuh akhir.

Dalam aksi malam tadi, gol pertama Penang FC dijaringkan oleh pemain muda T Saravanan pada separuh masa pertama permainan.

Beraksi pada masa tambahan, Penang FC berjaya menjaringkan dua gol pantas hasil sentuhan Lucas Espindola.

Selepas 20 tahun, pertama kali pasukan dari Pulau Mutiara menempah tiket ke separuh akhir Piala FA dan akan bertemu skuad Johor Darul Takzim (JDT). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram