Salam bukan permit pengadil, Kunanlan patut dihukum — Subkhiddin


  • Podium
  • Sabtu, 23 Jul 2022

S. Kunanlan (kiri) diturunkan buat kali pertama pada musim ini selepas sering memanaskan bangku simpanan. — Facebook/Johor Southern Tigers

BIARPUN tidak berlarutan, kesalahan bek kanan Johor Darul Takzim, S. Kunanlan yang dikesan menumbuk pemain Penang FC, Azzizan Nordin pada aksi Liga Super, Rabu lepas, tidak seharusnya dipandang ringan.

Insiden yang berlaku pada minit ke-29 perlawanan di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang itu gagal dikesan oleh pengadil perlawanan kerana ia berlaku ketika sepakan percuma Penang FC.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendedahkan akan meneliti laporan daripada Kommisioner Perlawanan (MC) sebelum memutuskan nasib pemain Harimau Selatan tersebut.

Bagaimanapun, di laman sosial seperti yang dilaporkan Majoriti sebelum ini, terdapat penyokong bola sepak tempatan yang mahu laporan berkenaan diperiksa secara menyeluruh.

Pengguna Facebook bernama Sharuddin mendakwa, terdapat provokasi dari pihak Penang FC yang sedang mencari peluang untuk mendapatkan penalti.

Aksi Kunanlan menumbuk Azzizan pada minit ke-29 gagal dikesan pengadil. Majoriti

Mengulas insiden itu, Tenaga Pengajar Bahagian Teknikal pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Subkhiddin Mohd Salleh berpendapat, provokasi bukanlah alasan untuk mana-mana pemain tidak bertindak profesional.

Tambahnya, tindakan sewajarnya harus diambil agar situasi itu tidak dilihat sebagai satu kebiasaan yang boleh diterima pakai dalam sukan bola sepak.

"Sekalipun terdapat provokasi yang dilakukan oleh pihak lawan, pemain berkenaan tidak seharusnya terlepas dari kesalahan 'retaliation' yang dilakukan olehnya.

"Bersalaman (sebagai tanda maaf) bukanlah permit untuk pengadil abaikan kesalahan yang telah dilakukan oleh seorang pemain khususnya kesalahan yang berkaitan dengan violent conduct atau serious foul play.

"Tindakan hari ini akan menjadi pendoman kepada perlawanan akan datang. Sekiranya gagal mengambil tindakan yang sewajarnya maka ia akan memberikan mesej yang salah kepada pemain, pegawai dan peminat," katanya kepada Majoriti.

Kemenangan JDT pada perlawanan tersebut mengukuhkan kedudukan Harimau Selatan selaku peneraju Liga Super dengan 29 mata serta mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 11 perlawanan setakat ini.

Manakala Penang FC kekal di tangga tercorot liga dengan sekadar mengutip tujuh mata selepas 12 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram