'Mentaliti kelas pertama, penyokong Sabah kena belajar dengan penyokong Penang adab layan tetamu'


  • Podium
  • Jumaat, 22 Jul 2022

Penyokong Penang menunjukkan contoh yang baik semasa melayani kunjungan pemain ke-12 JDT dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bandaraya, pada Rabu lepas.

SELEPAS insiden provokasi segelintir penyokong Sabah terhadap kelab Johor Darul Takzim (JDT) dalam pertembungan di Stadium Likas, Sabah pada Jumaat lalu, ada kebimbangan kalau-kalau insiden sama berulang ketika skuad Harimau Selatan bertemu Penang FC.

Bagaimanapun, perlawanan antara kedua-dua pasukan berlangsung dalam suasana yang aman meskipun pertemuan itu menyaksikan skuad Harimau Kumbang tewas 0-1 dengan JDT.

Bahkan, penyokong Penang FC dikatakan beradab melayani kunjungan pemain ke-12 pendahulu Liga Super itu dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bandaraya, pada Rabu lepas.

Laman troll Pahang is Dead 2.0 dalam satu hantaran di Facebook berkata, penyokong Sabah kena belajar dengan penyokong Penang adab layan tetamu.

Rakaman video turut dimuat menunjukkan sekumpulan penyokong JDT berbaju hitam beramai-ramai mengucapkan terima kasih kepada penyokong Penang. — Facebook

"Tengok elok saja penyokong Penang layan penyokong JDT walaupun pasukan mereka kalah dengan JDT.

"Tak ada pun nak baling botol ke apa, mengamuk baling makanan tak tentu pasal," katanya.

Tambahnya, apa yang ditunjukkan penyokong Penang adalah satu bentuk kematangan dalam meraikan keputusan pertandingan.

"Ni baru penyokong matang...kalah atau menang adat permainan. Tak perlu nak mengamuk tak tentu pasal, apapun tahniah diucapkan kepada penyokong Penang kerana mempunyai mentaliti kelas pertama," katanya.

Menerusi hantaran sama, satu rakaman video turut dimuat menunjukkan sekumpulan penyokong JDT berbaju hitam beramai-ramai mengucapkan terima kasih kepada penyokong Penang.

Sambil melambai-lambaikan tangan di udara, mereka melaungkan ucapan terima kasih kepada para penyokong skuad Harimau Kumbang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram