PERAK FC tekad bangkit mempamerkan kehebatan selain mahu memanfaat peluang beraksi di laman sendiri untuk mengutip tiga mata apabila berdepan pendahulu Liga Premier, Terengganu FC II (TFC II) pada Sabtu.
Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah berkata, waktu rehat selama 12 hari selepas tewas 2-0 kepada PDRM FC pada 3 Julai lepas, digunakan sepenuhnya untuk melakukan pelbagai persiapan dan pemain begitu bersemangat berlatih bagi memastikan mereka mengutip mata penuh.
"Kita mengharapkan tiga mata diperoleh esok untuk mengejar pasukan-pasukan yang berada di atas kita. Fokus pasukan adalah untuk menang dan menghadiahkan tiga mata buat penyokong kita," katanya.
Dalam aksi berdepan PDRM di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, skuad The Bos Gaurus tewas 0-2 hasil jaringan Azmi Muslim pada minit ke-62 dan Milos Lacny (minit ke-80) walaupun mempamerkan permainan menarik dan penuh berkualiti.
Sebahagian daripada aksi Perak FC ketika menentang PDRM FC baru-baru ini. — Facebook/Perak Football Club
Justeru, Yusri berkata, kekalahan pada aksi sebelum ini perlu dilupakan dan dalam masa sama mahu anak buahnya bangkit memperbaiki persembahan khasnya ketika beraksi di halaman keramat sendiri.
Untuk rekod, Perak FC ketika ini kekal di tangga tercorot Liga Premier tanpa sebarang mata selepas 11 perlawanan dan mencatatkan tiga kemenangan dan lapan kekalahan.
Walaupun mencatatkan tiga kemenangan, Perak FC berdepan pemotongan sembilan mata susulan kegagalan melunaskan baki tunggakan gaji mengikut tarikh akhir yang ditetapkan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram