JURULATIH Terengganu FC ll (TFC ll), Badrul Afzan Razali akui tugas berat menanti anak buahnya apabila bertandang ke Stadium Perak, Ipoh, Perak pada Sabtu.
Ia memandangkan pasukan lawan, Perak FC yang berwajah baharu dibarisi tonggak import berkualiti dan pemain senior tempatan berpengalaman.
Justeru, pengendali kelahiran Terengganu itu menggesa pemainnya agar lebih bekerja keras serta berwaspada bagi memastikan misi membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dalam aksi Liga Premier di tempat lawan tercapai.
"Kita akui berdepan Perak FC untuk pusingan kedua liga tidak semudah pusingan pertama kerana mereka tampil dengan skuad terkuat setelah menukar hampir kesemua pemain.
Sebahagian daripada aksi TFC II ketika menentang Kuching City FC baru-baru ini. — Facebook/Terengganu FC II
"Tetapi saya dah ingatkan pemain supaya jangan takut atau terlalu hormat pasukan lawan kerana dalam bola sepak, kita bermain secara pasukan, bukannya individu," katanya.
Ketika ditanya sama ada skuad The Turtles bakal berdepan kesukaran tanpa kehadiran pemain import, Luke Woodland yang digantung dua perlawanan, Badrul Afzan berkata, beliau tetap percaya dengan kemampuan barisan pemain tempatan yang terdiri daripada ‘ubi muda’.
Menurut beliau, pemainnya telah membuktikan keupayaan mereka apabila berjaya menewaskan pasukan Kuching City FC di laman sendiri tempoh hari, sekali gus meletakkan TFC ll di takhta teratas Liga Premier.
"Ketika bertemu Kuching City FC, kita beraksi dengan 100 peratus pemain tempatan setelah Argzim Redzovic demam dan Woodland pula digantung perlawanan.
"Pertemuan dengan Perak FC kali ini juga peluang keemasan kepada penyerang tempatan untuk menunjukkan kemampuan sebenar mereka dan diharap dapat digunakan sepenuhnya," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram