'Ikut cara JDT jika Harimau Muda mahu tundukkan Laos'


  • Podium
  • Jumaat, 15 Jul 2022

Najmuddin Akmal (kanan) antara pemain skuad B-19 negara yang mencuri tumpuan kerana kelincahannya atas padang. — Facebook/FAM

SKUAD Bawah 19 Tahun (B-19) negara berpeluang membalas dendam kekalahan kepada Laos sebelum ini apabila sekali lagi berentap dalam perlawanan akhir Kejuaraan AFF B-19 di Stadium Patriot Candrabhaga, Indonesia pada Jumaat.

Berdepan pendahulu kumpulan B itu, rata-rata penyokong bola sepak tanah air mahu skuad Harimau Muda memperbaiki kekurangan dan kelemahan sebelum ini antara lain dengan melakukan pressing sepanjang minit permainan bagi memberikan tekanan kepada pasukan lawan.

Seorang penyokong, Yunus Karis berkata, kaedah itu diterapkan dalam kalangan pemain Johor Darul Takzim (JDT) hingga membolehkan skuad Harimau Selatan menjuarai kumpulan I kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022.

Katanya, apabila pemain terbiasa dengan latihan berintensiti tinggi seperti yang diamalkan JDT, mereka tidak akan kekok beraksi dalam perlawanan sebenar.

"Tekan sentiasa, himpit...jangan bagi ruang (kepada) Laos. Itu sahaja pressing yang boleh lawan buat silap apabila ditekan sepanjang game.

"Cara itu juga membolehkan JDT menjuarai kumpulan I ACL. Kelab-kelab luar mula terpinga-pinga. Dalam latihan (JDT) dah diterapkan secara rutin, apabila beraksi game sebenar seolah-olah dah biasa dengan kepantasan tanpa tercungap," katanya di ruangan komen Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia.

292946164_738318883908017_7210806888424026678_n

Malaysia perlu mencetak gol awal pada aksi menentang Laos dalam perlawanan akhir Kejuaraan AFF B-19, pada Jumaat. — Facebook FAM

Sementara itu, Rosfanizan Yasin berharap posisi pertahanan harus diperketatkan lagi bagi mengelakkan gawang bolos kepada pasukan lawan.

"Harap Malaysia terus fokus perbaiki kekurangan, kelemahan dan kesilapan sebelum ni. Perbaiki bahagian posisi pertahanan, perketatkan lagi dan cepat-cepat tutup ruang.

"Jangan melakukan kesilapan. Terus fokus di setiap posisi anda dengan kepantasan bergerak. Tingkatkan kelajuan habis-habisan.

"Ini final...selamat maju jaya untuk anda skuad Harimau Muda. Anda semua mampu melakukannya. Malaysia yakin boleh," tulisnya.

Seorang lagi penyokong, Aisyah Cha Ecah merasakan jentera Harimau Muda di bahagian tengah perlu memainkan peranan sebaiknya bagi mematikan gerakan pihak lawan.

"Game malam ini (Jumaat) jika Malaysia dapat kawal tengah pasti akan lebih cantik.

"Malaysia juga perlu mencetak gol awal. Laos kalau dah gol dulu pasti akan menyukarkan skuad negara untuk mendapatkan gol sebab pertahanan lawan pun mantap. Apapun yakin malaysia menang malam ini," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram