Wanita bunuh suami di Johor rupanya khayal 2 jenis dadah


  • 112
  • Jumaat, 15 Jul 2022

Mangsa yang berusia 44 tahun ditemukan maut dengan muka dan kepala mengalami kecederaan. — Bernama

WANITA yang ditahan selepas dipercayai memukul suaminya hingga mati di Flat Nipah, Taman Daya, Johor pada Jumaat didapati berada di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, hasil ujian saringan ke atas wanita berusia 36 tahun itu mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

"Wanita itu juga mempunyai tiga rekod lampau iaitu dua kes berkaitan dadah dan satu kes berkaitan jenayah (mendatangkan cedera).

"Hasil siasatan mendapati motif pembunuhan dipercayai wanita itu berada di bawah pengaruh dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Raub berkata, pihaknya sedang mengesan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes itu untuk membantu siasatan.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagi kes positif dadah pula, wanita itu disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Raub turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Daerah Johor Bahru Selatan di 07-2182323 atau pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Kong Hock Peng di 019-7308888.

Terdahulu, dalam kejadian pada pukul 7.50 pagi pada Jumaat, mangsa yang berusia 44 tahun ditemukan maut dengan muka dan kepala mengalami kecederaan, dipercayai diserang menggunakan objek tumpul.

Lebih sejam kemudian, polis menahan seorang wanita berusia 36 tahun dipercayai isteri kepada mangsa berhampiran kawasan kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram