TIGA wanita Indonesia ditahan polis negara itu kerana disyaki terlibat dalam rangkaian sindiket dadah antarabangsa.
Ketua Polis Metro Jakarta Barat, Pesuruhjaya Polis Pasma Royce berkata, ketiga-tiga suspek ditahan dikenali dengan pangkal nama Y, 52, I, 45, iaitu penyeludup dan N, 46, sebagai pengedar.
“Kami menahan tiga wanita, dua bertindak sebagai penyeludup dan seorang bertindak sebagai pengedar,” kata Ketua Polis Metro Jakarta Barat, pada Khamis.
Tindakan ini terbongkar apabila pihaknya menerima maklumat bahawa satu bungkusan dadah jenis methamphetamine dihantar dari Malaysia.
Bungkusan methamphetamine seberat 9,544 gram atau 9.54 kilogram (kg) telah tiba di Pekanbaru dan akan dihantar ke Jakarta.
Mereka bertolak dari Pekanbaru menuju Jakarta dengan membawa dua beg pakaian besar berisi bungkusan methamphetamine.
“Mereka melalui laluan darat dengan menaiki bas,” kata Pasma.
Setibanya di kawasan hotel Tanah Abang, Jakarta Pusat, Unit Siasatan Narkotik Balai Polis Metro Jakarta Barat berjaya memberkas kedua-dua suspek.
Polis Jakarta Barat kemudiannya turut menahan N yang merupakan pengedar dadah.
Berdasarkan hasil pemeriksaan polis mendapati ketiga-tiga wanita itu sebelum ini mengenali antara satu sama lain.
N juga sengaja merekrut dua wanita itu untuk menipu pegawai.
"Ini merupakan modus opearandi yang telah digunakan oleh N untuk menipu pegawai supaya mereka tidak syak apa-apa," kata Pasma.
Sementara itu, Timbalan Unit Siasatan Narkotik Polis Metro Jakarta Barat, Penolong Pesuruhjaya Polis, Arif Purnama Oktora berkata, suspek Y telah meminta N untuk bekerja dengannnya.
"N telah diberikan pekerjaan sebagai pengedar methamphetamine dengan upah sebanyak Rp 20 juta (RM5,917) per kilogram dadah yang yang diedar.
"Dalam tempoh 10 bulan lepas, ketiga-tiga suspek telah membuat tiga kali transaksi jualan,"katanya.
Pada masa sama, polis masih memburu A dan S sebagai pengedar yang memberikan dadah kepada suspek N.
Polis juga masih mengesan lokasi pengedaran dadah yang dihantar ke Jakarta. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram