PKR kekal angkat Anwar Ibrahim jadi calon PM


  • Politik
  • Jumaat, 15 Jul 2022

PKR setuju untuk mengangkat Anwar Ibrahim sebagai calon PM pada PRU15 akan datang.

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan pada Pilihan Raya Umum akan datang (PRU15), parti itu akan bertanding di semua 48 kerusi Parlimen dan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dimenanginya pada PRU 2018 lepas.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia adalah keputusan yang dicapai pimpinan parti ketika mengadakan permukiman di Subang Jaya, Selangor baru-baru ni.

"Keputusan pimpinan (adalah), PKR akan masuk PRU15 dengan matlamat untuk menang dan memerintah; dan jika rakyat beri mandat, calon Perdana Menteri adalah (Presiden PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Katanya, selain itu kepimpinan parti turut memutuskan untuk berunding dengan komponen parti Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai DAP, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) bagi tambahan kerusi yang boleh ditandingi PKR.

"....dengan harapan (parti) muncul sebagai parti terbesar dan terkuat. Itu keputusannya... masuk bertanding dan menang, bertanding di semua kerusi yang kita menang, dan kita telah arah jentera pilihan raya membuat persiapan," katanya.

Beliau berkata, bagi meyakinkan rakyat, sesi pemukiman itu turut memberikan tiga teras tawaran parti, yang meliputi usaha untuk membanteras rasuah, membina semula ekonomi negara termasuk menamatkan kaedah monopoli harga beras, serta memberikan perlindungan sosial kepada rakyat seperti bantuan tunai selain menetapkan ‘universal basis income’ sebagai gantian kepada gaji minimum.

Saifuddin Nasution turut mengajak perwakilan untuk terus memberikan sokongan dan ketaatan kepada Anwar di dalam mengemudi PKR dan menolak andaian yang menyatakan Ahli Parlimen Port Dickson itu sebagai liabiliti kepada parti.

"Cerita yang merujuk Anwar sebagai liabiliti ini sejak 1999 lagi, bukan benda baharu... tetapi hakikatnya, Anwar yang kononnya dianggap liabiliti dan simbol kepada PKR telah menang lima kerusi Parlimen pada 1999 dan (kini) 48 kerusi Parlimen pada 2018 dan bentuk kerajaan," katanya. The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PKR, AMK, saifuddin nasution, PRU15