ISU status Stadium Shah Alam dilihat bagai tiada penghujung, sama ada perlu diselenggara atau dirobohkan bagi penjimatan kos.
Walaupun pernah diangkat menjadi menjadi stadium terbesar di Asia Tenggara namun fasiliti itu kini semakin tidak terurus dan dimamah usia.
Dalam situasi ini, pelbagai pihak menuding jari menyalahkan antara satu sama lain untuk mengambil tanggungjawab memperbaiki stadium tersebut kerana ia dikatakan memerlukan perbelanjaan yang tinggi untuk dibaik pulih.
Terbaru, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos mencadangkan supaya kerajaan Selangor menyerahkan stadium berkenaan kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk dibaik pulih, menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan peminat bola tempatan.
Beliau berkata, usaha Tunku Ismail sudah terbukti apabila Stadium Sultan Ibrahim tersenarai sebagai antara stadium terbaik dunia mengalahkan Stadium Allegiant di Las Vegas dan Stadium Ahmad bin Ali di Qatar.
"Tunku Ismail juga membantu dan menyumbang kepada Perbadanan Stadium Malaysia bagi penyelenggaraan Stadium Nasional Bukit Jalil dan boleh melakukannya untuk Stadium Shah Alam sekiranya kerajaan negeri tidak mampu menguruskan stadium itu.
"Saya yakin Tunku Ismail mampu menyelamatkan Stadium Shah Alam yang menjadi ikon pembangunan sukan Selangor untuk terus beroperasi berbanding merobohkannya," katanya dalam kenyataan media.
Namun begitu, peminat bola tempatan menerusi laman Facebook Pahang Is Dead 2.0 membidas kenyataan tersebut dan mempersoalkan kenapa bukan Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang mengambil alihnya kerana Tengku Amir juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
"Kenapa nak serah Stadium Shah Alam pada TMJ? Sedangkan Selangor ada RMS yang merupakan presiden FAS. Apa kaitan TMJ dengan Selangor ni?
"Selangor ada anak raja kenapa sampai nak suruh anak Raja Johor yang ambil alih ?
"Jangan macam ni Jamal, kau belakangkan RMS dalam hal ini. Kecil hati RMS nanti. Ini tanggungjawab RMS yang kena buat. Takkan jadi presiden sekadar berdiam diri saja?," katanya.
Sementara itu, seorang penyokong bola sepak tanah air, AB Hassan Azhari berpendapat, kenyataan yang dikeluarkan Jamal terhadap pengambilalihan stadium oleh TMJ disifatkan dangkal.
"Sebab itu jangan bagi orang politik bercakap mengenai sukan, fikiran mereka dangkal. Nak dapat penyelesaian segera saja," katanya.
"Sembang mental juara. Uruskan rumah kamu sendiri. Jangan nak libatkan JDT dan TMJ," ujar Kamil Kpp. —Majoriti