MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjanjikan bahawa stadium baharu pasukan Selangor bakal menjadi salah satu stadium terbaik di Malaysia.
Amirudin dalam satu temu bual secara siaran langsung di Facebook berkata, pihaknya masih belum memutuskan sama ada mahu membina stadium baharu di tapak yang berlainan atau merobohkan Stadium Shah Alam bagi tujuan dinaik taraf semula.
Perkara itu katanya disebabkan terdapat beberapa perkara utama yang perlu diteliti oleh pihaknya terutamanya dari aspek keselamatan stadium menjadi keutamaan mereka.
Ketika ditanya sama ada stadium baharu ini akan menjadi lebih baik daripada Stadium Sultan Ibrahim, Amirudin memberikan satu jawapan yang cukup yakin.
"Stadium baru selangor is better than my team stadium Anfield," katanya.
Namun, difahamkan masih terdapat beberapa elemen yang sedang diteliti dan perbincangan bagi keputusan akhir bakal menjadi penentu.
Walau bagaimanapun, pembinaan stadium yang dijangka mencecah RM 787 juta ini bakal menjanjikan kepuasan kepada para penyokong The Red Giants dalam memacu lebih banyak kejayaan pada masa akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram