KENYATAAN Nafuzi Zain yang menuntut Terengganu FC (TFC) agar dapat menghidu peluang lebih awal untuk memburu jaringan dalam misi mengutip tiga mata, merupakan satu cabaran buat anak buahnya ketika menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada Rabu.
Pengendali TFC itu juga mengakui bahawa bukan tugas mudah menumpaskan lawan biarpun beraksi di laman sendiri, kerana skuad kendalian K Devan itu kini berada pada tahap prestasi terbaik, selain turut diperkuatkan import baharu, Yashir Pinto dan Gustavo Dos Santos.
Namun tambahnya, jika pemain berjaya mengikut taktikal dirancang dan tidak mengulangi kesilapan sama ketika tewas 1-2 kepada Penang FC minggu lalu, tidak mustahil kemenangan bakal berpihak kepada pasukan kendaliannya.
Mengulas mengenai perkara itu, Irfan Bakti Abu Salim menjangkakan TFC bakal menang sekurang-kurangnya 2-0 atau 2-1 ketika menentang NSFC dalam aksi Liga Super itu.
Pengendali Kuching City FC itu berkata, antara pemain TFC yang bakal menjadi tumpuan termasuk penyerangnya, Kpah Sherman.
"Dia masih belum lagi menjaringkan gol, namun mungkin malam ini akan bersinar selepas tiga perlawanan," katanya kepada Majoriti.
Ketika ditanya penyebab TFC boleh tewas di tangan Penang FC, Irfan tidak menolak kemungkinan skuad Penyu itu seolah-olah mengambil mudah dan mempunyai keyakinan tinggi untuk memenangi perlawanan kali ini.
"Tapi dalam bola apa jua boleh berlaku. Saya rasa malam ni Terengganu akan bangkit selepas lawan Negeri Sembilan," katanya.
Berdasarkan rekod musim ini, TFC berjaya menumpaskan NSFC 2-1 pada aksi Piala FA pusingan pertama 29 April lalu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Kuala Nerus, Terengganu — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram