KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain, akui tugas berat menanti anak buahnya apabila berdepan pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Rabu.
Menurut Nafuzi, tidak dapat dinafikan NSFC kini berada pada tahap prestasi terbaik, lebih-lebih lagi selepas kejayaan membenam Sri Pahang 3-0 pada pertemuan Liga Super di Stadium Tunku Abdul Rahman di Paroi, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Kata beliau, cabaran itu diperkuatkan lagi dengan kehadiran tiga pemain import baharu skuad Hobin Jang Hobin iaitu Matheus Leandro, Gustavo Almeida dan Yashir Pinto yang dilihat mampu memberi ancaman kepada pertahanan skuad Penyu.
"Pertemuan dengan Negeri Sembilan pastinya sangat sukar, lebih-lebih lagi selepas kekalahan kita (TFC) kepada Penang FC tempoh hari," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Gong Badak, Terengganu.
Justeru, Nafuzi menuntut pemainnya supaya lebih berhati-hati dan mengelak kesilapan kecil.
Kata beliau, pemain perlu memanfaatkan aksi di laman sendiri untuk mendapat tiga mata penuh seterusnya memperbaiki kedudukan di persada liga.
Dalam pada itu, Nafuzi turut mengulas mengenai kritikan peminat terhadap dua penyerang import Kpah Sherman dan Kipre Tchetche yang didakwa mengalami penurunan prestasi sejak akhir-akhir ini.
"Walaupun Sherman dan Tchetche tidak menjaringkan gol pada perlawanan baru-baru ini, daripada segi sumbangan tetap ada dan nampak kerja keras mereka.
"Saya tidak ada masalah dengan dua pemain ini. Cuma pada perlawanan akan datang boleh ditajamkan lagi penyudah," katanya yang akan menurunkan Rahadiazli Rahalim untuk posisi penjaga gol pada perlawanan menentang NSFC.
NSFC yang dibimbing ketua jurulatih berpengalaman, K. Devan menghuni tangga kedua Liga Super dengan 19 mata manakala TFC di kedudukan kelapan dengan sembilan mata. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram