PEMAIN tengah pasukan Terengganu FC (TFC), Nik Akif Syahiran akhirnya sah beraksi bersama Kelantan United dalam baki saingan Liga Premier 2022 selaku pemain pinjaman, sekali gus menamatkan spekulasi berhubung masa depan pemain tersebut sebelum ini.
Bersma TFC, Nik Akif jarang diturunkan oleh Nafuzi Zain gara-gara kurang memberikan impak positif sepanjang diberi peluang beraksi, lalu menyebabkan pemain tersebut dipinjamkan kepada kelab lain bagi mendapat lebih banyak pendedahan dan minit permainan.
Perpindahan secara pinjaman itu juga menyaksikan pemain Harimau Muda itu kini kembali ke negeri kelahirannya semula iaitu Kelantan setelah kali terakhir dia beraksi di sana pada 2018 bersama kelab Kelantan FC, The Red Warriors (TRW).
Perpindahan tersebut terhasil selepas kedua kelab mencapai keputusan positif hasil daripada perbincangan dibuat pada saat-saat akhir sebelum jendela perpindahan kedua pemain ditutup pada Jumaat untuk memberi ruang Nik Akif menyarung jersi Kelantan United.
Tatkala menyebarkan berita perpindahan itu, ada beberapa portal sukan memberi gelaran Modric Malaysia kepada Nik Akif, namun rata-rata penyokong bola sepak tempatan di Facebook tidak bersetuju dan geli-geleman apabila pemain muda tersebut disamakan dengan pemain tengah pasukan Real Madrid itu.
"Modric celah mana, gaya permainan macam Modric c***t adalah," ujar Ivan Chin.
"Tidak layak digelar Modric Malaysia, perlu lebihkan usaha dan dia kurang menyerlah semasa mewakili Malaysia B-23 tempoh hari, mungkin boleh jadi Modric dalam lima tahun akan datang," tulis Abu Bakar.
"Sebahagian pemain yang gagal masa B-23 hari itu, ini pun nasib baik ada pasukan yang simpati nak ambil dia main," jelas Azarri Nvc.
"Siapalah yang bagi gelaran itu? Freekick dengan corner kick pun bersepah," kata Badrul Hisham.
Untuk rekod musim ini, beberapa kelab lain pernah menyuarakan hasrat untuk mendapatkan khidmat Nik Akif dalam pasukan mereka.
Antara berminat mendapatkan Nik Akif ialah Sri Pahang, Negeri Sembilan, serta Penang FC yang beraksi dalam saingan Liga Super sewaktu jendela kedua perpindahan pemain dibuka pada awal Mei lalu.
Walaupun kelab-kelab tersebut dilaporkan berminat, namun tiada persetujuan positif dapat dicapai untuk perpindahan pemain tersebut sebelum sah menyertai Kelantan United selaku status pinjaman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram