Harimau Kumbang jinakkan 6 serangkai TFC — Zainal Abidin


  • Podium
  • Khamis, 23 Jun 2022

Mohamad Faisal diasak pemain Penang FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya pada Rabu. — Facebook

BARISAN pemain Penang FC dituntut agar mengekalkan kesungguhan yang ditunjukkan mereka dalam aksi menentang Terengganu FC pada Rabu untuk perlawanan akan datang.

Pengendali Penang FC, Zainal Abidin Hassan berkata, para pemain telah membuktikan mereka bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kemenangan pertama dan berharap skuad Harimau Kumbang boleh kekal dan terus maju.

"Saya bangga dengan kesungguhan pemain, bagaimanapun, masih ada banyak yang perlu diperbaiki,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang Terengganu FC.

Penang mengutip tiga mata sulung dalam perlawanan Liga Super 2022 musim ini setelah menumpaskan Terengganu 2-1 di Stadium Bandaraya, pada Rabu.

Kemenangan pertama dilakar bimbingan Zainal Abidin musim ini menyaksikan skuad Harimau Kumbang kini berada di tangga ke-11 liga dengan tujuh mata selepas 10 perlawanan.

Mengulas mengenai perlawanan semalam, beliau berkata, gandingan enam serangkai Terengganu FC iaitu Manuel Gelito Ott, Habib Haroon Haroon Saeed, Mohd Faiz Mohd Nasir, Mohamad Faisal Abdul Halim, Tchetche Kipre dan Kpah Sherman menghasilkan serangan berbahaya sehingga menghasilkan gol untuk Terengganu.

287704143_1490179628079380_3088463340744543804_n

Pemain Penang FC membuktikan mereka bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kemenangan pertama dalam perlawanan Liga Super 2022. — Facebook

"Bagaimanapun, pemain Penang berjaya mengawal keenam-enam ini dengan begitu baik dan di sini kita lihat kesungguhan mereka sehingga mendapat kemenangan,” katanya.

Bagi perlawanan seterusnya, Zainal Abidin berkata, beliau perlu meneliti semula setiap pemain dan terpaksa melakukan rombakan di bahagian serangan apabila kehilangan penyerang import Anselmo Arruda da Silva atau Casagrande yang baru menjalani pembedahan beberapa hari lepas dan kini sedang dalam proses pemulihan.

Pemain yang berasal dari Brazil itu mengalami keretakan tulang pipi kanan ketika perlawanan Liga Super menentang Petaling Jaya City FC Sabtu lepas.

Sementara itu, Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain berkata, pasukannya bermula dengan terlalu tenang dari awal permainan berbanding Penang yang kelihatan bersemangat bermain di laman sendiri.

"Usaha dan semangat pasukan Terengganu tidak cukup terutamanya di separuh masa pertama. Manakala di separuh masa kedua, kita banyak mencipta peluang untuk menyamakan kedudukan tapi pertahanan dan penjaga gol Penang bermain dengan cemerlang,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram